fbpx

Sikap malas pemandu nyala lampu signal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAWKATH AZDE, WARTAWAN EKSEKUTIF

KETIKA menghadiri satu bengkel berkenaan teknologi masa depan kenderaan di sebuah ibu pejabat pengeluar automotif di Cyberjaya hampir 10 tahun lalu, saya tertarik dengan satu idea dikongsi seorang rakan. Idea itu adalah satu teknologi yang membolehkan sesebuah kereta ‘bercakap’ dengan kenderaan lain.

Medium komunikasi seperti itu sebenarnya sudah ada pada model kenderaan moden, tetapi dalam konteks ciri keselamatan.

Antaranya ialah penggunaan sistem radar atau pengesan semasa mengaktifkan ciri kawalan jelajah untuk mengawasi jarak dengan kenderaan di hadapan kereta anda.

Ini adalah cara kenderaan berkomunikasi.

Sebenarnya, teknik untuk pemandu berkomunikasi dengan pengguna jalan raya sudah lama wujud iaitu sejak tahun 1930-an. Salah satunya ialah lampu.

Lampu isyarat belok atau signal juga penting kerana menunjukkan sesuatu kenderaan mahu menukar laluan perjalanan.

Satu tinjauan oleh Response Insurans pada 2006 mendapati, sebanyak 57 peratus pemandu tidak menggunakan lampu signal ketika bertukar lorong.

Persatuan Jurutera Automotif menerusi satu tinjauan tahun 2012 di Ohio, Amerika Syarikat mendapati, 48 peratus daripada 12,000 pemandu tidak menggunakan lampu signal ketika menukar laluan, manakala 25 peratus lagi gagal berbuat demikian semasa membelok.

Alasan diberikan responden ialah mereka tiada masa, malas, terlupa, tidak peduli kerana kerap menukar laluan, pemandu lain juga tidak nyalakan lampu signal dan mahu keseronokan pemanduan.

Pakar Psikologi Trafik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, masalah ini berpunca daripada sikap yang terbentuk dalam diri pemandu.

“Bukan soal tidak mahu guna lampu signal, tetapi ini sudah menjadi budaya sebahagian besar pemandu di Malaysia kerana beranggapan ia bukan hal serius.

“Apabila menganggap sesuatu sebagai tidak penting, ini membawa kepada sifat lupa untuk menggunakan signal, sedangkan kesannya amat besar,” katanya.

Beliau berpendapat kadar peratus pengguna jalan raya tidak menggunakan lampu signal mungkin 10 atau 20 peratus lebih tinggi daripada tinjuan di Ohio.

“Jika hendak ubah, perlu ada inisiatif membabitkan sistem peraturan jalan raya perlu ditambah baik termasuk kurikulum­nya, undang-undang dianggap lemah digubal semula,” jelasnya

Ujarnya, kurikulum memandu didapati tidak menekankan aspek mendidik pemandu tentang cara untuk menghargai pengguna jalan raya lain.

“Skill dan kognitif atau penge­tahuan memang kita tahu. Elemen emosi kemanusiaan terhadap pengguna jalan raya lain seharusnya ada,” jelasnya.

Penganalisis permotoran, Gan Yong Li pula berkongsi tip pen­ting yang boleh membantu menyelamatkan nyawa di jalan raya.

Dia menyarankan penggunaan lampu signal ketika keluar ma­suk lot parkir dan bulatan selain menukar lorong di laluan lurus.

“Nyalakan lampu signal pada jarak antara 100 meter (m) hingga 300 m sebelum membelok, ma­suk simpang atau bulatan bergantung kepada kelajuan memandu,” jelasnya.

Beliau menyarankan pemilik kereta memeriksa lampu signal seminggu atau dua minggu sekali dan elak menukar lampu signal asal kepada warna lain kerana ini akan menjejaskan fungsi lampu isyarat belok sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI