fbpx

“Kita fikir rakyat, bukan soal jawatan” – Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

MELAKA – Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kesusahan rakyat bergelut dalam impak ekonomi akibat pandemik Covid-19 adalah fokus utamanya dan bukan persoalan menyandang jawatan.

Katanya, bisik-bisik politik berkaitan namanya disebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang perlu diambil pusing.

“Agenda utama kita adalah mencari jalan-jalan penyelesaian yang perlu dibangunkan dalam kadar segera bagi membantu meringankan beban rakyat sewaktu tempoh sukar ini.

“Sebagai interested party saya tidak boleh mengulas lanjut hal tersebut apatah lagi ia berkaitan dengan desas-desus nama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd. Ali Mohd. Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Tambahnya, perbincangan dalam Mesyuarat Khas Ahli-ahli Majlis Tertinggi baru-baru ini turut memfokuskan isu penyelesaian impak pandemik COVID-19.

“Tumpuan kita lebih ke arah itu dan bukannya soal jawatan jadi keutamaan,” katanya.

Terdahulu, timbul ura-ura mengaitkan Ismail Sabri sebagai individu paling tepat dan memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjawat jawatan nombor dua dalam Kabinet.

Selain Ismail, nama-nama lain yang menjadi sebutan ialah Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Difahamkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang mempertimbangkan secara serius untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada parti tunjang Barisan Nasional (BN), sebagai timbal balas terhadap sokongan mereka untuk Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, dan kestabilan politik negara.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI