fbpx

Nilai pampasan yang perlu dibayar kepada FGV ialah RM3.5 bilion – RM4.3 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jumlah pam­pasan yang dijangka perlu dibayar oleh Lembaga Kemajuan Ta­nah Persekutuan (Felda) kepada FGV Holdings Bhd. (FGV) kerana penamatan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) adalah antara RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion.

Menurut FGV, nilai tersebut dibuat berdasarkan penilaian dalaman yang berbeza bergantung kepada prestasi kewangan FGV untuk tahun 2020 dan 2021 serta pelbagai faktor lain.

“Kami telah bersedia menghadapi kemungkinan LLA ditamatkan kerana sebelum ini isu ber­ke­naan sering diperkatakan.

“Sehubungan itu, syarikat akan memberi tumpuan terhadap strategi jangka panjang keseluruhannya untuk terus berkembang.

“Kami juga mengukuhkan ak­ti­viti perniagaan bernilai tinggi yang memberi tumpuan terha­dap segmen makanan dan pro­duk pengguna berjenama agar ia kekal kukuh, berpotensi dan memberi jangkaan pulangan le­bih tinggi kepada pemegang saham hasil daripada penamatan perjanjian tersebut,” katanya da­lam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Kelmarin, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah mendapat persetujuan daripada Kabinet untuk menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion de­ngan jaminan kerajaan sebagai langkah awal untuk memulihkan institusi tersebut.

Selain terbitan sukuk, cada­ngan penamatan LLA juga adalah salah satu langkah yang bakal diambil melalui Pelan Pemulihan Felda yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut disenaraikan dalam pe­lan tersebut ialah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan dan juga mening­katkan daya berdikari peneroka.

Mengulas lanjut, FGV mene­rangkan, pihaknya masih belum menerima notis bertulis daripada Felda mengenai penamatan LLA tersebut.

“Setelah FGV menerima notis rasmi daripada Felda seperti yang disyaratkan di bawah LLA, kami akan mengikuti prosedur yang telah digariskan dalam perjanjian tersebut untuk memulakan proses penamatan.

“Syarikat juga akan menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada FGV yang akan mengambil masa selama 18 bulan untuk diselesaikan,” jelasnya.

Selain itu, FGV memaklumkan, LLA merujuk kepada ladang milik Felda seluas 350,733 hektar yang dipajakkan kepada FGV selama 99 tahun bermula dari 1 November 2011.

Rantaian bekalan ladang FGV tetap utuh kerana ladang-ladang LLA hanya mewakili 30 peratus Tandan Buah Segar (TBS) yang di­­proses di 68 kilang kelapa sawit FGV.

“Oleh kerana lokasi kilang ke­lapa sawit yang berdekatan de­ngan ladang LLA, kami tidak men­jangkakan sebarang peruba­han kepada susunan bekalan TBS sekarang.

“Rangkaian nilai bersepadu FGV yang selebihnya di perniagaan pertengahan dan hiliran juga akan kekal dan tidak terganggu dengan penamatan LLA,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI