fbpx
Masya

Masya tewaskan lebih 3,000 peserta Asia, menang AS$40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Penyanyi Masya Masyitah mengharumkan nama Malaysia apabila menjadi juara pertandingan mencungkil bakat peringkat antarabangsa, Yippi Star Quest 2020 malam tadi.

Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff, 20, menundukkan penyanyi dari Filipina bernama Phem sekali gus melayakkan dirinya menang hadiah wang lumayan kira-kira AS$40,000 (RM160,000) termasuk wang tunai AS$25,000 (RM104,000).

“Alhamdulillah, saya memang tidak sangka. Sudah tentu, final malam tadi sangat sengit. Phem pun ada kekuatan dan peminat tersendiri namun rezeki ternyata lebih memihak kepada saya,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Masya berjaya memenangi wang tunai berjumlah RM160,000 dalam pertandingan Yippi Star Quest 2020 malam tadi.

Katanya, pertandingan tersebut sudah berlanjutan selama empat bulan dan dia tidak menyangka mampu menjadi juara menewaskan lebih 3,000 peserta yang bertanding.

Biarpun Masya merupakan peserta berbangsa Melayu, kefasihannya berbahasa Mandarin dengan sebutan yang jelas berjaya meraih perhatian dan menjadi pilihan utama dalam platform media sosial Yippi.

Terdahulu, pada malam separuh akhir, pelantun lagu Hapus itu menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Mandarin, Melayu, Inggeris dan Indonesia berdasarkan pilihan penonton.

Bukan itu sahaja, perwatakannya menarik dan menyenangkan yang ditonjolkan membuatkan penonton daripada pelbagai kaum serata rantau Asia Tenggara sepakat mengundinya sehingga ke peringkat akhir kerana percaya pada bakatnya dan akhirnya, menjadi juara di antara 3,000 peserta lain.

Pada peringkat akhir, Masya menyanyikan 16 buah lagu termasuk lagu berjudul Living On A Prayer (nyanyian asal Bon Jovi) dan beberapa lagu lain berbahasa Mandarin dan Tagalog. – K! ONLINE

 

BERITA BERKAITAN