fbpx

Mesyuarat khas Kabinet berakhir tanpa apa-apa maklumat dikongsi kepada media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan memasuki bangunan Perdana Putra pagi ini bagi mempengerusikan mesyuarat khas bersama menteri kabinet di sini, hari ini.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Penantian lebih tiga jam pengamal media di luar pekarangan Bangunan Perdana Putra di sini berakhir tanpa ‘hasil’ apabila tiada seorang menteri sudi berkongsi intipati mesyuarat khas Kabinet yang berlangsung pagi tadi.

Lebih 20 pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar pelbagai agensi berita ‘berkampung’ di luar pekarangan bangunan sejak pukul  8.30 pagi tadi bagi mendapatkan maklumat mengenai mesyuarat khas itu.

Pengamal media yang berkampung di luar bangunan cuba mendapatkan reaksi dan komen daripada menteri Kabinet yang hadir sejurus mesyuarat berakhir namun, mereka langsung tidak menurunkan tingkap kenderaan sebaik disapa wartawan.

Mereka kemudian berlalu pergi meninggalkan sekumpulan wartawan dengan penuh tanda soal dan pertanyaan.

Difahamkan, mesyuarat khas pagi tadi bermula pukul 9.30 pagi sebelum berakhir kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pelbagai desas desus tersebar di media sosial kononnya ada rombakan Kabinet yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, ada sumber lain memaklumkan mesyuarat itu membincangkan situasi terkini penularan wabak Covid-19 serta usaha mengekang wabak berkenaan susulan peningkatan mendadak kes positif akhir-akhir ini.

Sementara itu, usaha Kosmo! mendapatkan komen daripada sumber terdekat di Jabatan Perdana Menteri juga belum berhasil selepas diberitahu bahawa pihaknya juga masih tidak menerima maklumat terkini setakat ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Bangunan Perdana Putra dan dilihat memasuki pintu utama Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 8.57 pagi.

Antara yang dilihat hadir mesyuarat khas sama termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohammad Al-Bakri.

Selain itu, beberapa menteri lain termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairudin Aman Razali dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut kelihatan memasuki pekarangan Bangunan Perdana Putra ialah Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI