fbpx
SITI FATIMAH memetik buah-buah tin yang sudah matang di Felda Sungai Tengi Selatan, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

K2

Ladang Tin Felda Sungai Tengi Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI jauh kelihatan kelibat seorang pemuda yang memegang peralatan semburan dan menyembur baja ke bahagian daun pokok berdekatannya.

Menjadi rutin harian buat pemuda itu, Hafiz Asraf Hassan untuk menyembur baja ke daun-daun tersebut bagi memastikan pokok-pokok buah tin yang ditanamnya subur berkembang.

“Pokok buah tin ini perlu dijaga dengan baik bagi memastikan buah yang bermutu tinggi dapat dihasilkan.

“Hari-hari saya perlu memastikan pokok-pokok buah tin yang ditanam ini berada dalam keadaan terurus,” katanya kepada K2 di tapak projek dikenali sebagai Gedung Makanan Negara itu di Felda Sungai Tengi Selatan, Kuala Kubu Bharu, Selangor baru-baru ini.

Kebiasaannya, seawal pukul 7 pagi setiap hari, Hafiz Asraf yang merupakan pengurus operasi Afta Benefigs Sdn. Bhd. (Afta Benefigs), sebuah syarikat yang mengusahakan penanaman tin akan berada di tapak projek itu untuk menjalankan tugasnya.

 

BUAH tin yang ditanam turut diproses untuk penghasilan produk-produk hiliran seperti jus dan lain-lain.

 

Di situ dia bukan hanya sekadar memantau tanaman, malahan dia juga bertanggungjawab untuk menyemai anak-anak pokok dan memetik buah-buah yang sudah matang untuk dipasarkan.
Afta Benefigs telah melibatkan diri dalam penanaman buah tersebut setelah melihat potensi pasaran buah tin yang begitu baik.

Pengurus jualan dan pemasarannya, Siti Fatimah Sha’ari menjelaskan, setiap tahun Malaysia mengimport sekitar satu juta tan buah tin.

“Permintaan buah tin di negara ini cukup tinggi. Atas sebab itu kami mengambil keputusan untuk terlibat dalam bidang penanaman buah ini bermula pada awal tahun 2019.

“Tidak ramai mengusahakan penanaman buah tin di negara ini bagi memenuhi permintaan di pasaran,” katanya.

Buah tin atau nama saintifiknya Ficus carica lazimnya ditanam di kawasan Asia Barat.

Terdapat pelbagai jenis pokok buah tin dan buat masa ini Afta Benefigs memilih untuk menanam buah tin dari jenis Masui Dauphine yang banyak ditanam di negara Jepun.

Siti Fatimah menjelaskan, buah tin daripada jenis tersebut bukan sahaja lebih produktif dan bersaiz lebih besar bahkan harganya apabila dijual masih dalam kategori mampu milik.

Menurutnya, harga untuk sekilogram buah tin Masui Dauphine adalah pada kadar RM80.

“Di ladang ini kami menanam lebih 1,200 pokok buah tin di tiga buah rumah perlindungan hujan (RPH).

“Setiap hari sebanyak 15 hingga 20 kilogram buah tin yang telah matang dipetik dari pokok yang sudah berbuah,” jelasnya.

Untuk sebuah RPH, keluasannya adalah 12,000 kaki persegi (1,115 meter persegi) dan boleh menempatkan sebanyak 420 pokok buah tin.

“Buah tin ini bukan tumbuhan bermusim dan akan berbuah sepanjang tahun. Setiap RPH ini berbeza waktu penanamannya bagi membolehkan kami mempunyai bekalan buah tin ini sepanjang tahun.

“Selalunya selepas empat bulan penanaman, buah tin ini sudah boleh dipetik dan tempoh untuk memetik hasil buah tin ini boleh dilakukan selama dua bulan,” jelas Siti Fatimah.
Dalam pada itu, Siti Fatimah menerangkan, sebenarnya pokok buah tin ini mudah untuk ditanam dan membesar.

Agropelancongan

Penanaman di dalam RPH membolehkan pokok itu tidak terdedah kepada hujan.

 

HAFiZ ASRAF menyembur baja pada daun pokok buah tin.

 

 

“Jika cuaca selalu hujan, keadaan itu sebenarnya boleh memberi kesan kepada daun dan pokok.

“Bagi memastikan pokok-pokok buah tin yang ditanam sentiasa berada dalam keadaan baik, kami turut melakukan kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis dalam membangunkan teknologi ladang pintar,” tegasnya.

Menurutnya, sebelum ini tanaman buah tin tersebut telah diusahakan di Janda Baik, Pahang dengan menggunakan satu RPH sahaja.

Memandangkan permintaan terhadap buah tin yang diterima mereka amat memberangsangkan, Siti Fatimah menjelaskan mereka kemudiannya telah mengusahakan tanaman tersebut di Gedung
Makanan Negara yang terletak di Felda Sungai Tengi Selatan sejak September tahun lalu bagi menambah lagi pengeluaran.

Siti Fatimah yang juga merupakan anak jati Felda Sungai Tengi Selatan menegaskan, ladang yang mereka usahakan itu turut berkonsepkan agropelancongan yang mana para pengunjung boleh datang dan memetik buah segar lalu makan secara terus dari pokok.

“Ini akan memberikan pengalaman berharga bagi orang ramai untuk mengenali dengan lebih dekat tentang buah tin dari segi penanaman, khasiat dan nilai kebaikannya yang tinggi.

“Hasrat kami untuk menempatkan Felda Sungai Tengi Selatan yang harmoni ini sebagai salah satu pusat agropelancongan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pada Jun lalu, ladang tersebut telah menerima kunjungan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Idris Jusoh bersama pihak pengurusan tertinggi yang lain.

 

BUAH tin mengandungi serat yang tinggi sekali gus baik untuk proses pencernaan dalam tubuh manusia.

 

Siti Fatimah berkata, beliau (Idris) amat gembira melihat hasil tanaman buah tin ini yang diusahakan sendiri dengan kepakaran tempatan iaitu anak Felda sendiri.

“Oleh yang demikian, beliau menyarankan kami agar mengembangkan lagi tanaman ini supaya menjadi pengeluar buah tin segar terbesar di dunia. Beliau meminta untuk kami menggandakan tanaman buah tin dari 1,200 pokok sedia ada sekarang kepada 10,000 pokok.

“Hasrat beliau adalah selari dengan visi dan misi kami untuk menjadikan Felda Sungai Tengi Selatan ini sebagai santuari buah tin dunia,” jelasnya.

Tambah Siti Fatimah, pihaknya dalam fasa untuk bekerjasama dengan Felda bagi menjadikan ladang buah tin di Felda Sungai Tengi Selatan ini sebagai santuari buah tin dunia dengan menanam 300 jenis buah tin yang dilengkapi pusat agropelancongan seperti kedai, galeri, nurseri dan pusat informasi buah tin.

Setakat ini ladang itu telah menerima kedatangan banyak pelancong dari serata Malaysia termasuk dari Singapura dan Brunei.

Dalam pada itu, Siti Fatimah menjelaskan, pihaknya turut menghasilkan produk-produk hiliran berasaskan buah tin seperti buah tin kering, teh daun tin, jem buah tin, jus kesihatan buah tin untuk dipasarkan.

“Untuk menghasilkan produk-produk ini kami mendapat bantuan daripada penduduk Felda sendiri. Penduduk Felda di sini yang membantu kami memproses buah tin menjadi produk hiliran.

“Ini sedikit sebanyak membolehkan mereka menjana pendapatan tambahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN