KLUANG – Pencarian sebuah keluarga berhubung kehilangan bapa mereka yang juga pesara polis berpangkat koperal sejak 31 Ogos lalu berakhir apabila mayat mangsa ditemui kelmarin.
Mangsa, Su Kim Chiang, 57, yang merupakan seorang pekebun dijumpai dalam keadaan sudah reput selepas mayatnya ditanam di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 26, Kahang di sini.
Penemuan mayat lelaki itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki iaitu tauke sebuah kedai tayar pada 4 Oktober lalu.
Satu sumber berkata, mangsa dan suspek yang berusia 37 tahun dipercayai berjumpa pada malam 31 Ogos lalu
“Selepas ditahan, suspek membawa polis ke sebuah kubur di dalam kebun sawit, lokasi dia menanam mayat mangsa.
“Mangsa dipercayai dibunuh selepas dia bertemu dengan suspek bagi membincangkan mengenai urusan hutang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Suspek dikatakan meminjam wang mangsa RM30,000. Wang tersebut diberikan melalui tiga tiga transaksi ke akaun bank suspek.
“Selepas pertemuan itu, mangsa tidak pulang ke rumah dan kehilangannnya dilaporkan oleh ahli keluarga kepada polis pada keesokan harinya.
“Mangsa dipercayai dibunuh pada malam yang sama (pertemuan) sebelum mayatnya ditanam di sebuah kebun kelapa sawit,” katanya.

Di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru inilah mayat mangsa dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.
Menurut sumber itu lagi, susulan tangkapan suspek utama tersebut, polis turut memberkas seorang lagi lelaki yang dipercayai telah membantunya melupuskan mayat mangsa.
Jarak lokasi mangsa hilang dan mayatnya dijumpai adalah kira-kira 10 kilometer.
Kedua-dua lelaki tersebut kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
Setakat ini, polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan tersebut, namun percaya ia berkaitan hutang suspek kepada mangsa.
Usaha mencari motosikal yang digunakan oleh mangsa semasa kejadian masih diteruskan sehingga kini.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pesara polis hilang selepas bertemu dengan seorang rakan bagi membincangkan mengenai hutang lelaki itu yang berjumlah RM30,000.
Mangsa dikatakan bertemu dengan rakannya itu di sebuah kedai motosikal di Pekan Kahang, pada pukul 8 malam.
Anak mangsa, Jacky Su Kai Lun, 32, memberitahu, ibunya ada menghubungi bapanya setengah jam kemudian, namun leaki itu gagal dihubungi sebelum memaklumkan kepadanya pada pukul 10 malam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.














