fbpx

Perhalusi perjanjian sebelum beli vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

PUTRAJAYA – Harga vaksin yang telah ditetapkan antara perkara sedang diperhalusi kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pembelian bekalan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, menerusi terma dan perjanjian Covax atau Covid-19 Vaccine Global Access, harga tersebut telah ditetapkan walaupun vaksin belum berjaya dihasilkan.

“Vaksin tersebut tidak ada lagi tetapi harga sudah ditetapkan. Kita biasanya kalau nak beli sesuatu, kita perlu tahu harganya tetapi barang (vaksin) tidak ada lagi,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata, justeru terdapat kekangan untuk Malaysia bersetuju dengan perjanjian tersebut sekali gus perlu diteliti dan diperhalusi sebelum keputusan dibuat.

Selain itu, Noor Hisham berkata, dari segi liabiliti, sekiranya wujud komplikasi daripada penggunaan vaksin itu, kerajaan perlu menanggungnya dan bukannya pihak syarikat pengeluar.

Katanya, setakat ini sebanyak sembilan kajian fasa ketiga sudah dijalankan, namun belum ada data yang telah diumumkan kepada orang ramai.

“Dari segi teknikal, kita lihat kepada keberkesanan dan komplikasi. Kalau komplikasi tinggi, ia jadi isu untuk menggunakan vaksin tersebut kerana Kementerian Kesihatan mementingkan keselamatan.

“Kita mahu vaksin yang diberikan adalah selamat jadi, kita perlu tunggu kepada data tersebut. Kalau ada komplikasi, kita yang tanggung dan bukannya syarikat pengeluar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penyertaan Malaysia di dalam Covax adalah suatu peluang untuk mendapatkan perbincangan antara kerajaan (G2G) selain syarikat pengeluar untuk kebersamaan dalam aktiviti Covax.

“Jadi perolehan kita masih bebas untuk mengadakan perbincangan dengan negara atau syarikat pengeluar,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, saringan yang dijalankan terhadap komuniti di Sabah adalah berdasarkan lokaliti di sesuatu kawasan tersebut.

“Populasi di Sabah hampir empat juta tetapi saringan bukan tertumpu kepada kesemua jumlah tersebut sebaliknya difokuskan kepada kluster aktif yang dikenal pasti dan kumpulan berisiko.

“Biasanya kita sasarkan lima peratus namun jika ada keperluan boleh ditingkatkan kepada 10 peratus,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI