fbpx
GANESPARAN diburu polis susulan keluarkan kenyataan berbaur hasutan kepada raja dan kerajaan.

PDRM siasat kenyataan hasut raja dan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki berhubung satu video berbaur hasutan terhadap raja dan kerajaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan dibuka susulan satu rakaman video tular yang menunjukkan suspek N.Ganesparan,38, cenderung menghasut.

Video berdurasi enam minit itu menunjukkan suspek mempertikaikan hukuman yang dikenakan terhadap pemandu Myvi yang menyebabkan seorang anggota tentera maut selain mempertikai hak-hak Raja Melayu serta kerajaan memerintah.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu kini berada di luar negara dan semakan mendapati telah keluar dari Malaysia sejak November 2017.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ Bukit Aman telah memulakan siasatan dan tindakan tegas akan diambil ke atas suspek dengan niat serta sengaja menghasut.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek dikehendaki polis membabitkan tiga kes lain.

“Suspek dikehendaki sejak tahun 2018 membabitkan satu laporan di Balai Tun SH Lee dan dua laporan di Balai Tun Razak pada tahun 2019.

“Siasatan dikehendaki mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 akta sama serta Seksyen 233 AKMM 1998,” ujarnya.

Tambah Huzir, pihak polis menggesa orang awam agar tidak membuat dan memulakan hantaran ke atas kenyataan tular itu.

“Tindakan di bawah AKMM 1988 boleh dikenakan terhadap sesiapa yang ingkar,” katanya. – K! ONLINE