fbpx

Fenomena air pasang besar: Bomba nasihat hindari kawasan pantai Bagan Lalang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian air pasang besar turut melanda pantai Bagan Lalang, Sepang.

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL

SEPANG – Orang ramai dinasihatkan menghindari kawasan pantai berikutan kejadian fenemona air laut pasang besar yang melanda beberapa kawasan di Selangor ketika ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan selain membuat rondaan pemantauan dan pemeriksaan sehingga esok mengikut jadual air laut pasang besar yang diterima.

“Rondaan pemantauan itu bukan sahaja dilakukan di Bagan Lalang, Sepang tetapi juga dibuat di kawasan lain yang dikenal pasti iaitu Sabak Bernam; Sungai Besar; Sekinchan;Tanjong Karang; Kuala Selangor; Pelabuhan Klang; Kapar; Banting dan Sungai Pinang,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Berhubung kejadian air pasang yang berlaku di Bagan Lalang, beliau berkata daripada maklumat diperoleh, ia melibatkan kawasan hujung pantai berdekatan Taman Seri Bayu dan kawasan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) .

“Seramai enam anggota beserta seorang penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang telah dikerahkan ke kawasan terbabit selepas menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Setiba di lokasi, kita telah membuat pemeriksaan di rumah-rumah yang berhampiran dengan pantai.

“Didapati, kawasan penduduk tidak dinaiki air dan tiada kerja-kerja pemindahan dibuat.

“Bagaimanapun jika keadaan air tinggi dan menyebabkan banjir, kita akan membantu untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat,” katanya.

Namun begitu, katanya, penduduk yang tinggal berdekatan pantai dinasihatkan segera berpindah jika rumah mereka dinaiki air selain patuh arahan pasukan keselamatan untuk berbuat demikian.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 58 saat yang sempat dirakam penduduk setempat mengenai keadaan air laut berikutan kejadian air pasang besar yang berlaku di pantai Bagan Lalang di sini kelmarin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI