fbpx

Antara derbi Merseyside, kemunculan Safawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE,PENGARANG BERITA KOSMO.

LIGA Perdana Inggeris (EPL) menghangatkan semula malam hujung minggu peminat-peminat bola sepak usai slot antarabangsa melibatkan aksi persahabatan, Liga Negara-Negara Eropah dan Kelayakan Piala Dunia 2022 menutup tirai seketika.

Tumpuan pastinya akan terarah kepada perlawanan pertama EPL pada pukul 7.30 malam ini yang lebih dikenali sebagai derbi Merseyside antara Everton dan Liverpool.

Jika bukan disebabkan pandemik Covid-19, Kota Maritim England itu sudah tentu akan berubah wajah kepada merah dan biru kerana pelosoknya dipenuhi kedua-dua penyokong yang bertetangga.

Mungkin malam ini, penyokong jersi biru menerbitkan lebih senyuman untuk menyaksikan perlawanan itu berbanding penyokong berjersi merah yang tampak gusar serta gundah gulana.

Ini kerana, buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad, Everton dilihat melangkah ke stadium Goodison Park sebagai pasukan pilihan berdasarkan prestasi cemerlang skuad The Toffees bimbingan jurulatih Itali, Carlo Ancelotti ketika ini.

Berbeza dengan juara bertahan EPL, Liverpool bimbingan jurulatih Jerman, Jurgen Klopp terpaksa bergelut dalam empat perlawanan pembukaan berbanding Everton yang memenangi kesemua aksi musim ini dengan bergaya sekali.

Mengamati sejarah kedua-dua kelab berjiran itu, pertembungan derbi Merseyside kali pertama berlangsung pada 13 Oktober 1894.

Sejak itu, Liverpool dan Everton sudah bertembung sesama sendiri sebanyak 237 kali dengan The Reds memenangi aksi 96 kali, manakala The Toffees menang 66 kali. Kedua-dua pasukan seri sebanyak 75 kali.

Bagaimanapun, Everton menikmati permulaan musim terbaiknya sejak tahun 1894 dan menghadapi derbi Merseyside dengan penuh keyakinan untuk meraih kemenangan pertama ke atas The Reds sejak tahun 2010. Mampukah The Toffees?

Fokus malam ini juga bukan terarah kepada EPL yang menampilkan aksi hebat antara Manchester City dan Arsenal atau Manchester United lawan Newcastle, sebaliknya turut mencuri tumpuan peminat di Malaysia yang menanti-nantikan kemunculan penyerang prolifik Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid beraksi.

Safawi, 23, mempunyai peluang untuk membuat penampilan pertama bersama kelab baharunya, Portimonense SC dalam saingan Liga Primeira menentang Maritimo di Estadio dos Barreiros malam ini.

Penyerang Harimau Selatan itu dipinjamkan ke Portimonense sehingga akhir musim dengan kelab dari Portimao, Portugal itu mempunyai pilihan untuk mengikat khidmatnya secara tetap.

Bukan sahaja peminat-peminat bola sepak tanah air, malah laman utama Instagram Liga Portugal turut dilihat tidak sabar menantikan aksi Safawi selepas memuat naik gambarnya berlatih bersama Portimonense. Jadi, sama-sama kita nantikan apa yang bakal berlaku malam ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI