fbpx
PAKAIAN milik Nazmizan yang dilelong melalui Facebook peribadinya bagi membantu pelajar UniMAP.

Bekas raja pecut lelong pakaian sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad melelong jersi ke­sayangannya yang digunakan semasa mewakili negara bagi membantu pelajar universiti yang terjejas akibat Covid-19.

Menurut pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu, inisiatif tersebut dilakukan bagi membantu mengumpul dana untuk diberikan kepada pelajar universiti berkenaan yang memerlukan.

“Sebagai pensyarah di UniMAP, saya bersimpati dengan nasib pelajar yang terjejas.

“Oleh itu, diharapkan usaha ini dapat membantu pelajar yang mungkin datang daripada keluarga yang susah dan terjejas de­ngan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

“Jika terjual, saya akan menyerahkan wang jualan kepada tabung khas yang disediakan oleh UniMAP,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tenaga pengajar di Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan UniMAP itu memberitahu, bidaan jersi-jersi tersebut akan dibuat melalui laman Facebook peribadinya.

“Setakat ini, saya baru memuat naik sepasang pakaian Mizuno Malaysia yang dipakai semasa mewakili negara di Terbuka Vietnam 2007.

“Harga bidaan ialah RM200. Jika mendapat sambutan, mungkin saya akan menjual beberapa koleksi pakaian lain lagi selepas ini,” katanya.

Pada 2016, Nazmizan pernah melelong kasut ‘Spike Emas’ kesayangannya yang digunakan sewaktu meraih pingat emas 100 meter (m) dan 200m Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam de­ngan sasaran kutipan wang berjumlah RM100,000 bagi membantu Watson Nyambek.

Lelongan itu dibuat atas rasa ihsan terhadap nasib yang me­nimpa bekas rakan seper­jua­ngannya itu yang perlu menyelesaikan hutang dengan bank.

POPULAR