fbpx

Penjual pencuci mulut terharu dapat perhatian MB Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar video menunjukan saman RM300 yang dikenakan MBSA ketika baharu mengaut keuntungan RM75 hasil jualan lima botol pencuci mulut.

SHAH ALAM – Seorang pelajar sebuah Universiti Awam (UA) yang tular menerusi video disaman Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terharu apabila mendapat perhatian daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.

Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 22, berkata, kejadian berlaku apabila dia menemankan rakannya, Azri Hanafi, 21, membuka perniagaan menjual produk Cha Aroibang sejenis pencuci mulut menerusi kaedah but kereta di Taman Tasik Shah Alam pukul 6.30 petang, pada 25 September lalu.

Katanya, insiden berlaku selepas setengah jam mereka berniaga dan menjual lima botol produk.

“Memang sedih masa itu disebabkan Azri baharu sahaja menjual lima botol dengan keuntungan RM75 namun disaman RM300 pula.

“Kami tidak menyalahkan MBSA kerana mengakui kesalahan berniaga di tapak tidak dibenarkan. Kalau tidak saman tidak adil kepada orang lain pula.

“Namun, berharap pihak berkuasa lebih bertimbang rasa dengan menggunakan budi bicara terutama kesukaran ketika berdepan pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kata pelajar semester kedua Ijazah Pengurusan Perkhidmatan Makanan itu, insiden tersebut telah menarik perhatian ramai pengunjung di taman tersebut sehingga membeli baki 20 botol daripada Azri.

Ujar Iskandar, produk tersebut dibuat sendiri bersama rakan-rakan sekuliahnya sejak bulan Mei lalu dalam menampung perbelanjaan mereka di UA sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami cuma sekadar mencari duit poket lebih dengan sebelum ini perniagaan dilakukan secara dalam talian dan mempunyai hampir 100 ejen.

“Saya buat video tersebut bukan untuk strategi promosi sebaliknya sebagai satu kenangan kepada saya dan rakan lain. Namun, saya turut mengakui terkejut apabila menerima lebih 200 pesanan sehingga kini sejak video tersebut tular,” katanya sambil memaklumkan telah dihubungi pihak Amirudin.

Kisah video berdurasi 56 saat itu telah mendapati 27,000 ulang ciap dan 28,000 tanda suka.

Amirudin Shari dalam ciapan Twitternya hari menegaskan telah menghubungi Iskandar selain akan mendapatkan pihak MBSA untuk membantu memudahcara berniaga di sekitar bandar raya ini. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI