fbpx

K2

Memburu tenggiri di Tuas Yan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEPUASAN jelas terpancar pada wajah pemancing apabila berjaya mendaratkan ikan tenggiri di Tuas Yan.

SEAWAL pukul 5 pagi, Shahrul Ambri Samsuddin, 34, bersama lima rakannya berada di jeti Sungai Udang, Yan, Kedah selepas bertolak dari Bagan, Pulau Pinang.

Kehadiran mereka pada hari itu adalah untuk memburu sebanyak mungkin tenggiri yang dikatakan popular di kawasan perairan tersebut.

Perjalanan Shahrul Ambri bersama rakan-rakan menuju ke tuas darat dengan menggunakan sebuah bot kayu memakan masa selama hampir 40 minit dengan jarak sekitar lapan batu nautika.

Sebaik sampai di tuas darat, mereka diberi masa selama satu jam untuk memancing ikan kembung dan ikan pelata yang akan digunakan sebagai umpan hidup.

Selepas memburu umpan hidup, mereka bergerak ke tuas tengah yang memakan masa selama satu jam dengan jarak perjalanan sejauh 18 batu nautika.

Di situ, Shahrul Ambri dan rakan-rakan menghabiskan baki masa yang ada bagi memburu ikan yang tergolong dalam keluarga scomberomorus itu.

Tidak sampai 15 minit umpan hidup dilepaskan, Shahrul Ambri sudah berjaya menaikkan tenggiri pertamanya seberat 10 kilogram (kg).

“Ini kali kelima saya dan kawan-kawasan datang ke sini untuk memancing tenggiri. Ikan ini menjadi pilihan kerana isinya yang enak apabila dimasak, selain bernilai tinggi dalam pasaran dengan harga mencecah RM25 sekilogram.

 

IKAN tenggiri mempunyai isi yang sedap, selain berharga tinggi dalam pasaran.

 

“Paling penting, ikan ini dapat menghadirkan cabaran dan keseronokan tersendiri kepada para pemancing,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Ikan tenggiri banyak terdapat di perairan Yan pada bulan Januari hingga April dan September hingga Disember.

Pembantu bot pemancing di Jeti Sungai Udang, Faizal Hashim, 31, berkata, Tuas Yan terkenal dalam kalangan pemancing sebagai lokasi terbaik memburu ikan tenggiri.

Katanya, kawasan tuas tersebut tidak pernah sunyi dengan kehadiran pemancing tempatan dan luar terutamanya pada hujung minggu.

“Tuas Yan dibahagikan kepada dua iaitu Tuas Darat dan Tuas Tengah. Biasanya Tuas Darat untuk pemancing singgah mencari umpan hidup sebelum bergerak ke Tuas Tengah.

“Biasanya, tidak kurang daripada 50 orang pemancing akan berada di sini untuk memburu ikan tenggiri pada hujung minggu,” katanya yang berpengalaman selama tiga tahun sebagai pembantu bot.

Tuas adalah tukun tiruan diperbuat daripada unjam buluh untuk menarik kehadiran ikan tenggiri bagi memburu makanan berupa ikan kecil di situ.

 

FAIZAL menunjukkan ikan tenggiri yang berjaya dipancingnya.

 

Faizal turut memaklumkan, umpan terbaik untuk memburu ikan tenggiri adalah umpan hidup berupakan ikan bersaiz kecil dan umpan tiruan berupa bulu ayam atau jig.

Kongsinya, dua kaedah memancing yang sering digunakan oleh pemancing di Tuas Yan adalah casting dan jigging.

“Biasanya, pemancing yang datang ke sini tidak akan pulang hampa. Paling kurang pun mereka boleh bawa balik tiga ekor tenggiri.

“Jika kena dengan masa dan ketikanya ada kumpulan pemancing yang boleh mendaratkan 20 ekor tenggiri sehari. Ia bergantung kepada nasib,” jelasnya.

Dalam pada itu, Faizal menjelaskan, harga sewa sebuah bot yang boleh memuatkan enam orang pemancing untuk ke Tuas Yan dari Jeti Sungai Udang akan menelan kos sebanyak RM680.
Katanya, harga itu merangkumi masa 12 jam untuk memancing dan hidangan makan tengah hari berupa nasi putih, kari ikan tenggiri dan sambal belacan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI