fbpx

Lelaki ditahan kes dokumen palsu mohon bantuan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah urusan sebuah syarikat (tengah) yang didakwa mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar pada pagi ini bagi mendapatkan perintah reman.

ALOR SETAR – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat di Selangor ditahan kerana didakwa mengemukakan penyata akaun mengandungi butiran palsu bagi mendapatkan bantuan subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Mac lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sini kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Suspek kemudian dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini pada pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim membenarkan tertuduh direman selama empat hari bermula hari ini.

Lelaki terbabit didakwa mengemukakan penyata akaun disyaki mengandungi butiran palsu bagi membolehkan syarikatnya layak mendapat bantuan subsidi upah kerja daripada Perkeso untuk pekerja sekitar Mac lalu.

Hasil pemalsuan itu, syarikat tersebut dikatakan memperoleh bantuan upah pekerja dianggarkan lebih RM400,000 sebulan sedangkan syarikat tidak memenuhi kelayakan untuk mendapatkan subsidi berkenaan.

Ia berikutan syarikat yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk pembersihan itu didapati tidak mengalami kekurangan pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.

“Mahkamah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Pada 30 September lalu, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen dengan butiran palsu melibatkan tender sebuah kementerian bernilai lebih RM22 juta, dua tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI