fbpx

Cuepacs gesa kerajaan percepat kemudahan Tabika kepada golongan M40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa agar kerajaan dapat menyegerakan kemudahan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) kepada golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Presidennya, Adnan Mat berkata, gesaan ini susulan keputusan kerajaan untuk tidak mewujudkan Tabika Elit khusus kepada golongan itu sebaliknya hanya memanjangkan kemudahan Tabika sedia ada kepada mereka.

Menurutnya, ketika ini kira-kira 10,900 Tabika di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara memberi keutamaan kepada anak-anak daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

“Bagaimanapun, golongan M40 terpaksa menghantar anak mereka ke Tabika swasta dengan kadar yuran lebih tinggi iaitu sekitar RM200 sehingga RM350 sebulan dan ia mungkin membebankan kepada ibu bapa yang mempunyai ramai anak.

“Selain itu, mereka yang tinggal di kawasan bandar juga sukar untuk mencari Tabika kerana pilihan terhad selain banyak yang ditutup akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan menambah, meskipun kemudahan Tabika Kemas ini akan dipanjangkan kepada keluarga M40, peluang untuk anak-anak B40 tidak diusik kerana keutamaan kementerian adalah untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya berharap silibus kurikulum untuk semua Tabika Kemas perlu sama walaupun Tabika tersebut untuk anak-anak daripada keluarga M40 atau B40.

Tambahnya, Cuepacs berharap silibus kurikulum di Tabika Kemas dapat ditingkat dan diperkemaskan lagi supaya menjadi pilihan utama rakyat.

“Jika ibu bapa M40 terpaksa membayar lebih sedikit, ia perlu setimpal dengan kurikulum yang ditawarkan. Kadar yuran yang ditetapkan pula tidak boleh terlalu tinggi hingga menyamai Tabika swasta yang lain.

“Penetapan kadar yuran tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata sebaliknya lebih bersifat perkongsian kos dengan ibu bapa,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI