fbpx

Mufti Perlis selar ahli politik tidak patuh SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Asri

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyelar golongan ahli politik selalu berbicara tentang kepentingan rakyat, tetapi gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, perbuatan ahli politik itu menyebabkan anggota masyarakat kini dalam kebimbangan dan tertanya-tanya sama ada mereka pernah berhubungan dengan menteri atau ahli politik yang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Lihatlah, betapa ramai kakitangan kerajaan terdedah kepada bahaya kerana politik orang lain.

“Persoalan kita, perlukah semua orang politik ke sana? Perlukah semua menteri, semua kepimpinan parti, semua yang berjawatan dalam parti turut serta? Cacatkah kempen tanpa mereka?,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.

Mohd. Asri berkata, lebih ganjil ada ahli politik di Semenanjung Malaysia tidak begitu berfungsi dan berpengaruh cuba membina pengaruh sewaktu PRN Sabah sedangkan mereka selalu menghilangkan di kawasan sendiri.

Kata beliau, jika situasi itu masalah peribadi mereka dan parti mereka sahaja tidak mengapa, namun ia kini menjadi masalah rakyat dan masalah golongan pekerja yang bekerja untuk negara.

“Nak ke pejabat pun kita sudah bimbang. Semoga Allah selamatkan negara ini,” katanya.

Terdahulu, kata beliau, sakit dan sembuh adalah takdir Tuhan, namun Allah menempatkan sebab musabab bagi kejadian-kejadian dalam kehidupan manusia.

Tegas beliau, mematuhi SOP salah satu sebab musabab mengelakkan Covid-19, namun jika hanya sebahagian pihak patuh dan sebahagian lagi tidak maka sebab musabab Covid-19 merebak akan berlaku ke atas semua peringkat.

“Kawasan wabak jangan dimasuki. Jika sudah masuk, wajib kuarantin diri. Itu SOP yang diajar oleh Nabi S. A.W dan dipersetujui oleh sekelian manusia tanpa mengira agama.

“Jika ada yang tidak patuh, maka akan menjadi mangsalah mereka yang patuh dan sekelian mereka yang menjaga segala peraturan yang ada,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI