fbpx
Gambar hiasan

Bersedia harungi banjir ketika pandemik Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
FIRDAUS HASSAN
PENOLONG PENGARANG BERITA

Iklim di Malaysia dipengaruhi oleh Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Sistem angin yang bersilih ganti ini membawa fungsi masing-masing kepada iklim di negara ini.

Monsun Barat Daya lebih sinonim dengan cuaca kering yang bermula dari akhir bulan Mei hingga ke September dengan kebanyakan negeri menerima hujan paling minimum.

Manakala Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh agak sinonim dengan negeri di Pantai Timur Semenanjung dan bahagian barat di Sarawak apabila anginnya turut membawa hujan lebat.

Menurut Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut pada tahun ini dijangka bermula pada November depan dan berakhir pada Mac 2021.

Jadi tidak hairanlah jika kebelakangan ini, negeri di Pantai Barat Semenanjung sering menerima hujan lebat dan ribut petir pada sebelah petang.

Ini menandakan Monsun Barat Daya yang bermula pada 18 Mei lalu sudah berakhir.

Negara kini berada dalam fasa peralihan monsun bermula 24 September lalu sebelum memasuki musim Monsun Timur Laut pada November nanti.

Pada fasa ini, cuaca agak baik pada waktu pagi sebelum disusuli hujan lebat dan ribut petir pada sebelah petang dan awal malam.

Penduduk di ibu negara sudah terbiasa dengan bencana banjir kilat seperti yang berlaku bulan lalu.

Hujan lebat berterusan lebih dua jam bermula pukul 2 petang mengakibatkan Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Jalan Gurney Kiri dan Jalan Semarak ditenggelami air sehingga satu setengah meter.

Aktiviti orang ramai bukan sahaja lumpuh, malah ia turut mengakibatkan kerugian harta benda.

Musim tengkujuh kali ini bakal memberi impak yang berbeza dalam suasana pandemik Covid-19.

Seperti yang kita sedia maklum, tugas pihak berkuasa semakin mencabar seperti penularan yang berlaku dalam Kluster Benteng LD di Lahad Datu.

Penularan bermula daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) menjangkiti pihak berkuasa sehingga mewujudkan kluster tersebut.

Timbul persoalan sama ada bersediakah anggota keselamatan untuk melakukan tugas penyelamatan dalam keadaan kecemasan semasa bencana di samping mengamalkan penjarakan fizikal.

Apakah prosedur operasi standard yang akan digunakan di pusat pemindahan, bagi mengasingkan mangsa-mangsa banjir ini sekaligus mengelakkan penularan.

Suasana kali ini pasti berbeza pada hemat penulis. Seeloknya kita bersedia daripada sekarang.

Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Semoga perjuangan serta pengorbanan frontliner kita diberkati dan beroleh kejayaan.-K! ONLINE

 

BERITA BERKAITAN