fbpx

Sanggup potong gaji sertai Hizbut Tahrir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan

JOHOR BAHRU – Penyebaran fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini dilakukan secara terancang dengan golongan profesional menjadi antara sasaran utama kumpulan itu dalam mengembangkan ajaran mereka.

Lebih daripada itu, kumpulan tersebut turut memperoleh dana menerusi yuran bulanan yang dikutip sebanyak 10 peratus daripada pendapatan dan gaji yang dimiliki oleh ahli-ahli.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ber­kata, kumpulan HTM dikesan merekrut ahli baharu mereka sejak mula bertapak di negeri ini 15 tahun lalu.

Dedahnya, kumpulan tersebut giat mencari ahli baharu dalam kalangan profesional dan berpendidikan tinggi seperti pelajar universiti, ahli akademik dan ahli perniagaan.

Hasil risikan pihaknya, HTM ketika ini mempunyai keahlian berdaftar lebih 80 individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Siasatan mendapati HTM mula berkembang di negeri ini sejak September 2005 dengan menubuhkan Khalifah Centre sebagai markas penyebaran fahaman itu yang terletak di Skudai.

“Sehingga kini, kita mengesan lebih 80 ahli berdaftar dan mereka sedang bergerak mencari ahli-ahli baharu dengan menyasarkan pelajar universiti, pensyarah dan ahli perniagaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gerakan fahaman HTM di Johor pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.

Ayob Khan mendedahkan, HTM menggunakan kaedah baharu bagi mencari ahli menerusi laman Facebook.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dana kumpulan HTM diperoleh hasil daripada kutipan yuran ahli yang dikenakan secara bulanan dipanggil Mar (yuran bulanan).

Katanya, sebanyak 10 peratus hasil pendapatan atau gaji bulanan setiap ahli disumbangkan ke dalam tabung HTM dipercayai bagi membiayai aktiviti dan gerakan ideologi serta propaganda mereka.

“Selain daripada sumba­ng­an hasil pendapatan, HTM turut mendapat dana daripada pengan­juran majlis usrah, forum, seminar serta derma individu perseorangan.

“Ahli HTM dikehendaki membayar yuran keahlian sebanyak 10 peratus daripada hasil pendapatan (bekerja sendiri) dan gaji yang diperoleh secara bulanan yang dinamakan Mar (yuran bulanan).

“Hasil siasatan kita mendapati HTM tidak dibiayai mana-mana ahli perniagaan atau ahli akademik kanan yang bergaji besar, namun dipercayai terdapat ahli HTM yang bekerja di bidang profesional dan membuka perniagaan sendiri,” katanya.

Artikel berkaitan : Dakwa ikut SOSMA jika melampaui batasan 

Ayob Khan berkata, HTM didaftarkan atas nama sebuah syarikat iaitu Ikatan Intelektual Nusantara (IKIN).

Jelasnya, IKIN dikesan menjalankan perniagaan berkaitan baik pulih komputer dan peng­iklanan talian.

“Sebelum ini, pertubuhan HTM sendiri pernah memohon kepada ROS untuk didaftarkan, namun telah ditolak atas alasan mempunyai keraguan,” katanya.

Setakat ini katanya, polis telah menerima sebanyak 17 laporan berhubung kumpulan tersebut.

“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ideologi fahaman HTM menolak demokrasi dan melabelkan Kerajaan Malaysia sebagai kufur, kafir dan wajib diguling menggunakan kekerasan. Setakat ini, belum ada tindakan ke arah itu (kekerasan).

“Ini bidang kuasa jabatan agama, namun polis sentiasa memantau, jika melangkau garisan keselamatan kita akan ambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.

Ayob Khan berkata, HTM turut difatwakan haram di Sela­ngor, Kuala Lumpur, Pahang, Ne­geri Sembilan dan Sabah.

Fahaman ini turut ditentang di negara Islam lain termasuk Arab Saudi, Jordan, Turki, Indonesia dan Syria.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI