fbpx

Bariatrik bukan hanya untuk kurus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
ARINA AZLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

Obesiti dalam kalangan masyarakat Malaysia bukan satu masalah baharu.

Namun, ada satu alternatif bagi mengatasi­nya yang menjadi bualan hangat masyarakat ketika ini.

Pembedahan bariatrik mula mendapat perhatian terutama­nya selepas beberapa selebriti popular berjaya melakukannya antaranya ialah Aishah, Rahim Sepahtu dan Abby Abadi.

Bariatrik adalah pembedahan pada usus.

Selepas menjalani pembedahan itu, saiz perut pesakit akan menjadi semakin kecil sekali gus menyebabkan mereka cepat kenyang.

Bagaimanapun, masih ramai yang salah faham dengan tujuan sebenar pembedahan bariatrik yang dianggap hanya sekadar mahu menguruskan badan.

Pakar Bedah Bariatrik dari Cengild Medical Centre, Bangsar South, Dr. Mustafa Mohamed Taher berkata, secara asasnya, pembedahan bariatrik dibuat bagi membantu individu yang mempunyai berat badan ­berlebihan setelah semua cara lain untuk menurunkan berat tidak berjaya.

“Tidak semua orang layak me­lakukan pembedahan ini kerana ia bukan satu pembedahan kos­metik yang fokus untuk kurus.

“Bariatrik dilakukan agar individu mampu mengawal penyakit darah tinggi, diabetes, sakit jantung dan obesiti. Ia satu pembedahan untuk menyelamatkan nyawa seseorang,” katanya.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa setiap perubahan selepas pembedahan itu mempunyai kelebihan dan juga kekura­ngannya tersendiri.

Penulis berkesempatan me­nemu bual pengarah terkenal, Michael Ang yang kini sudah kehilangan berat hampir 50 kilogram (kg) selepas menjalani pembedahan bariatrik dua tahun lalu.

Michael sepatutnya gembira kerana sekarang dia mampu menyarung baju dan seluar bersaiz lebih kecil, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Saya tidak suka melihat diri saya dalam cermin sekarang kerana saya terlalu kurus. Ada masanya saya tidak mengenali diri sendiri ketika berada di hadapan cermin.

“Sejak saya menjalani pembedahan membuang (beberapa bahagian dalam) perut, saya tidak boleh menikmati makanan kegemaran saya seperti dahulu.

“Semuanya terbatas kerana saya tidak boleh makan dalam kuantiti banyak,” luahnya.

Penyanyi Janji Manismu, Wan Aishah Wan Ariffin pula berkata, sejak menjalani pembedahan pintasan gastrik pada 2018, dia hanya mampu menelan dua atau tiga sudu nasi sebelum perutnya berasa sendat.

Bagi mengelak situasi begitu, Aishah perlu makan dalam kuantiti sedikit, namun kerap.

Malah, sewaktu bulan puasa, dia hanya mampu menatap lauk-pauk yang terhidang.

“Otak memberi isyarat saya sangat lapar, tetapi perut pula hanya memuaskan suku daripada rasa teringin itu,” katanya.

Oleh itu, semailah rasa bersyu­kur dalam diri bagi mereka yang masih berupaya menurunkan berat badan secara semula jadi.

Berbadan kurus bukan pe­nanda aras bahawa fizikal kita berada pada tahap terbaik, jadi jangan terlalu obses dengan ba­yangan bentuk badan bak seorang model sehingga membuat keputusan yang salah.

Pada masa sama, jangan pandang rendah kepada mereka yang terpaksa memilih jalan pintas dalam usaha mengurangkan berat badan kerana kita tidak tahu penyakit yang sedang dihidapi mereka.

Kita perlu mengubah stigma bahawa kurus itu sudah cukup menandakan badan kita sihat kerana kurus di luar tidak bermakna anda tidak berpenyakit di dalam.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN