fbpx

Pesara diingat tidak jadi mangsa Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin Harun (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di sini hari ini.

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

SEREMBAN: Golongan pesara diingatkan supaya lebih peka dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa sebarang sindiket penipuan Macau Scam seperti yang sering dilaporkan dalam media.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak yang terlibat dengan penipuan tersebut mengetahui mangsa mereka itu mempunyai wang ataupun tidak, oleh itu golongan pesara merupakan merupakan antara golongan sasaran mereka.

“Ia bukan sahaja melibatkan pesara tetapi juga penjawat awam yang masih bertugas, mereka tahu untuk mengenal pasti individu mempunyai duit ataupun tidak.

“Perkara ini harus menjadi perhatian oleh golongan pesara khususnya kerana mereka mampu daripada segi kewangan. Berhati-hati dalam pelaburan, ketika menerima panggilan telefon juga apabila melibatkan transaksi kewangan, fahami betul atau tidak supaya akhirnya tidak tertipu yang akan menyebabkan pesara ini lebih susah kerana wang simpanan habis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, golongan pesara perlu bersikap lebih peka dan melakukan semakan dengan pihak berkuasa atau agensi yang terbabit sekiranya menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meragukan.

“Jangan dedahkan maklumat peribadi, jangan terlalu cepat percaya hingga terus melakukan transaksi bank kepada individu tidak dikenali demi mengelakkan diri daripada menanggung kerugian,” katanya.

Sementara itu, menurut Aminuddin, kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah perkampungan pesara ‘Retirement Village’ melalui Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pesisiran Pantai Port Dickson.

“Selain membangunkan kawasan perumahan, komponen pembangunan yang mesra pesara bakal diwujudkan seperti pusat kejururawatan, infrastruktur mesra OKU, taman rekreasi dan landskap yang berkonsep ‘wellness’ dan juga hospital swasta, klinik kesihatan serta farmasi,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI