fbpx

Alli bukan lagi ayam tambatan Spurs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALLI perlu berhijrah mencari kelab baharu selepas Mourinho didakwa tidak berminat menggunakan khidmatnya lagi musim ini. - AFP

LONDON – Bintang buangan Tottenham Hotspur, Dele Alli tiada pilihan selain berhijrah menyertai pasukan lain bagi menyelamatkan kariernya selain peluang mewakili England pada Kejohanan Euro tahun depan.

Alli, 24, sekali lagi dipinggirkan oleh pengurus Spurs, Jose Mou­rinho sewaktu seri 1-1 dengan Newcastle United pada aksi ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur malam kelmarin.

Ini adalah kali kedua berturut-turut pemain tengah itu tidak diturunkan dalam saingan EPL sejak perlawanan pertama menentang Everton pada 13 September lalu.

Mourinho, 57, berpeluang menyenaraikan Alli selepas Moussa Sissoko tidak dapat beraksi saat-saat akhir kerana masalah kesihatan tetapi beliau lebih memilih untuk mengisi kekosongan itu dengan pemain lain iaitu Gedson Fernandes.

Ia seakan-akan memberi ba­yangan pengendali dari Portugal itu sememangnya sudah tidak berminat mahu menggunakan khidmat Alli untuk saingan liga musim ini.

Bagi menyelamatkan karier, Alli perlu memilih salah satu daripada lima kelab yang pernah menyatakan minat mendapatkan khidmatnya seperti Paris Saint-Germain, Manchester Uni­ted, Atletico Madrid, Inter Milan dan Shanghai SIPG.

Bagaimanapun, Pengerusi Spurs, Daniel Levy dilaporkan enggan melepaskan Alli dengan harga rendah kerana beliau pernah menilai graduan Milton Keynes Dons itu berjumlah £100 juta (RM531.7 juta) pada musim lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI