fbpx

Pegawai JPN didakwa terima rasuah RM16,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Mohd. Fazdhly (kiri) dihadapkan di mahkamah atas tiga tuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Pegawai Pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM16,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fazdhly Abdul Razak, 42, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Fazdhly didakwa menerima wang berjumlah RM10,000 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada seorang lelaki, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya, di sebuah bank tempatan di Masai, pada 13 Jun 2018.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa menerima wang berjumlah RM1,500 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada seorang lelaki, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di sebuah bank tempatan di Taman Johor Jaya, pada 4 Julai 2018.

Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM4,500 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada seorang lelaki, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di sebuah bank tempatan di Masai, pada 18 Julai 2018.

Mohd. Fazdhly didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duannya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Mahirah Mohd. Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nur Mahirah memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.

Namun tertuduh merayu jaminan berkenaan dikurangkan berikutan beliau terpaksa menggadai tanah pusaka di kampung selain perlu menanggung tiga anak berusia antara tujuh hingga 14 tahun, isteri yang tidak bekerja selain ibu mentuanya yang menderita barah rahim tahap tiga.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan.

Sebutan semula ditetapkan pada 26 Oktober depan bagi penyerahan dokumen.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI