fbpx

Mualaf tipu imam dan ustaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek ditahan di perkarangan Surau Mutiara Damansara selepas menipu orang ramai.

KUALA LUMPUR – Mengaku telah memeluk agama Islam dan perlu meminjam wang bagi urusan menyelesaikan masalah kad kredit.

Itu taktik yang digunakan oleh seorang lelaki bagi menipu imam dan ustaz sebelum menghilangkan diri serta menyekat nombor telefon sebaik sahaja memperoleh wang daripada mangsa.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu tidak berpanjangan apabila dia diberkas pihak polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, mangsa berusia 38 tahun, seorang imam masjid Seksyen 5, Kota Damansara didatangi suspek yang berumur 35 tahun pada 1 Februari lalu.

“Suspek yang mengaku telah memeluk Islam mahu meminjam wang bagi urusan menyelesaikan masalah kad kreditnya yang telah disekat oleh pihak bank.

“Mangsa dengan niat membantu telah menyerahkan RM450 kepadanya sebelum suspek pergi ke Terengganu pada hari Ahad kerana urusan bank dibuka pada hari tersebut di sana,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, setiba di Terengganu, suspek telah meminta wang tambahan bagi urusan-urusan mengaktifkan kad kreditnya.

“Mangsa sekali lagi telah menyerahkan wang tambahan bagi urusan-urusan mengaktifkan kad kreditnya melalui pindahan wang ke akaun suspek berjumlah RM650.

“Setelah itu, mangsa menyedari nombor telefonnya telah disekat oleh suspek dan gagal dihubungi,” ujarnya.

Difahamkan, mangsa juga baru mengetahui bahawa kejadian yang sama telah tular di Facebook yang mana suspek terbabit telah menipu ramai imam dan ustaz di sekitar Selangor.

Nik Ezanee berkata, mangsa sekali lagi telah terserempak dengan suspek di pekarangan surau Mutiara Damansara yang berkemungkinan ingin melakukan jenayah yang sama semalam.

“Mangsa dan rakannya telah menahan dan membawa suspek ke Balai Polis Mutiara Damansara untuk diserahkan kepada polis.

“Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau. Suspek kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI