fbpx

PDRM intai podium Piala Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASLIZA (belakang) cuba merampas bola daripada kawalan pemain ATM, Surizan Awang Noh dalam aksi yang menyaksikan PDRM menang 2-0 di Stadium Hoki Nasional hari ini. - FB MHC

KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya meraih kemenangan pertama saingan Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 pada aksi Kumpulan C di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Kapten PDRM, Noor Hasliza Md. Ali gembira dengan kemenangan itu dan berharap rakan-rakan sepasukannya dapat memberikan prestasi terbaik dalam usaha meraih pingat pada saingan edisi kelima kejohanan kategori wanita tersebut.

“Kami tidak boleh memaksa bekas-bekas pemain untuk beraksi kali ini disebabkan kekangan kerja. Jadi kami cuba mencari mereka-mereka yang pernah beraksi dengan PDRM sebelum ini.

“Kami tak ramai tetapi kami ada. Saya memikul tanggungjawab sebagai kapten untuk melatih pasukan dan pada masa sama memberi motivasi kepada pemain.

“Kemenangan manis tentunya meraih pingat gangsa bersama PDRM pada Piala Tun Abdul Razak tahun lepas. Jadi saya harap semoga ada sinar baharu untuk kami mencapai pingat tahun ini,” katanya.

Dua gol PDRM diperoleh menerusi pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan Norhasikin Halim seawal minit kelima dan jaringan padang Fazilla Sylvester Silin pada suku masa keempat permainan.

Sementara itu, juara bertahan, Selangor berjaya meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan A selepas menewaskan Pulau Pinang 3-0 menerusi gol-gol daripada Fatin Shafika Mahd. Sukri, Fatin Naimah Zaki dan Raja Norsharina Raja Shahabudin.

Satu lagi aksi Kumpulan A yang berlangsung hari ini menyaksikan Terengganu terus kempunan untuk meraih tiga mata selepas tewas tipis 1-2 kepada Perak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI