fbpx
Gambar hiasan

STL tetap menyengat tanpa pemain import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

KETIADAAN tonggak import dalam saingan Divisyen Premier Liga Sepak Takraw Kebangsaan (STL) musim ini sepatutnya dilihat dari sudut positif.

Bagi STL 2020, penganjur membuat keputusan dengan mewujudkan peraturan baharu iaitu tiada pemain import dibenarkan mengambil bahagian ke­rana Covid-19.

Justeru, rata-rata peminat sukan berkenaan merasakan kehangatan saingan liga sepak takraw utama negara itu akan hilang serinya menjelang aksi pembuka tirai Jumaat ini.

Bagaimanapun, ada juga me­rasakan inilah waktu terbaik buat para pemain tempatan mempamerkan kemampuan mereka.

Pemerhati sukan sepak takraw, Azlan Mubin menyifatkan pemain-pemain dalam skuad kebangsaan perlu membuktikan kelas mereka yang tersendiri agar saingan STL musim ini tetap berada pada tahap tersendiri.

“Kehadiran pemain import ada bagusnya kerana mereka boleh menjadi teman sparring.

“Mutu sai­ngan STL musim lalu cukup tinggi dan pemain-pemain tempatan kita juga boleh memberi cabaran seimbang kepada mereka.

“Apabila tiada import, inilah peluang terbaik buat mereka ke­rana persaingan menjadi terbuka kepada semua pemain,” kata bekas pemain skuad kebangsaan itu.

Kehadiran import-import pa­da tahun lalu secara tidak langsung meningkatkan tahap permainan pemain tempatan dari segi aspek kawalan bola ketika menerima servis dan keyakinan mereka untuk bersaing de­ngan jaguh-jaguh dari Thailand.

Tumpuan pastinya terarah kepada juara bertahan Divisyen Premier STL, Perak Bison yang perlu merencana strategi baharu mempertahankan kejuaraan selepas tidak dapat menggunakan tekong berbisa dari Thailand, Nattawut Naewprom.

Pemenang Piala Juara-Juara STL musim lalu, Johor Tigris juga berdepan nasib sama apabila tidak dapat menggunakan khidmat dua import Thailand iaitu apit kanan, Alongkon Rakthao dan tekong, Noppharat Thumkham.

Antara pasukan lain yang terkesan dengan peraturan baharu itu ialah Kelantan Warrios tanpa kehadiran Apirak Promanee, Negeri Sembilan Antler (Wirawut Na Nongkhai) dan Terengganu Turtles (Phutawan Sopa).

Namun, Kapten Perak Bison, Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi percaya, pemain-pemain tempatan tetap mampu memberikan prestasi terbaik.

“Walaupun tiada pemain import saya rasa tiada masalah.

“Sekarang peluang yang baik untuk kami membuktikan kemampuan buat pasukan masing-masing,” jelasnya.

Musim ini, Kuala Lumpur (KL) Thunder dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai sai­ngan Divisyen Premier kerana diperkuatkan dengan kehadiran bekas tekong kebangsaan, Mohd. Syahir Rosdi.

Selain Syahir, majoriti pemain KL Thunder pernah beraksi di pentas antarabangsa seperti Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi, Mohd. Hanafiah Dollah, Mohammad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Azmi Abd. Kadir.

Aksi pertama Divisyen Premier STL 2020 menyaksikan Perak Bison bakal berdepan Selangor Pistons diikuti Penang Black Panthers bertemu Pahang Mammoth, ATM Guardians melawan PDRM

Defenders dan Negeri Sembilan Antlers menentang Johor Tigris pada Jumaat ini.

KL Thunders pula dijadualkan bertemu Kelantan Warriors keesokan harinya.