fbpx

Bangkai kelawar dalam sos tiram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANGKAI kelawar tersebut ditemui di dalam balang sos tiram yang dibeli di sebuah kedai di daerah Jinan, wilayah Shandong. – DAILY STAR

BEIJING – Seorang lelaki berhari-hari hilang selera makan selepas menemui bangkai se­ekor kelawar di dalam balang sos tiram yang dibelinya di daerah Jinan, wilayah Shandong, lapor akhbar Daily Star.

Menurut lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Guo, dia me­nemui bangkai haiwan itu apabila ibunya mengadu sukar untuk mengambil sos tiram tersebut semasa memasak makan tengah hari baru-baru ini.

“Selepas ibu saya habis memasak, dia mengadu tidak dapat mengeluarkan sos tiram daripada balangnya.

“Apabila memeriksanya, saya melihat bentuk seperti bangkai burung di dasar balang dan sebaik mengeluarkannya, saya terkejut mendapati ia seekor ke­lawar,” katanya.

Kata Guo lagi, dia dan keluarganya telah menggunakan sos tiram seberat 6 kilogram itu selama tiga bulan, namun kehadi­ran bangkai kelawar tersebut hanya disedari apabila sos hampir habis.

“Selepas mengeluarkan kelawar itu daripada balang, saya terus membuang lauk yang baru dimasak ibu saya dan membawa balang ke kedai yang menjualnya.

“Saya hilang selera makan beberapa hari selepas menemui bangkai kelawar di dalam ba­lang sos tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Guo menafikan kelawar tersebut masuk ke dalam balang selepas dia membawanya pulang dari pasar raya berkenaan.

“Saya rasa kelawar itu masuk ke dalam balang itu ketika proses pembungkusan di kilang.

“Tidak mungkin kelawar itu masuk ketika di rumah kerana kami menutup balang tersebut selepas menggunakannya,” jelas lelaki itu.

Seorang jurucakap pengeluar sos tiram tersebut bagaimanapun berkata, semua produk keluarannya telah melepasi pemeriksaan keselamatan yang profesional.

“Mustahil kelawar boleh ma­suk ke dalam balang ketika pro­ses pembungkusan, tapi jika ia berlaku haiwan itu akan terurai semasa proses penapaian.

“Kami boleh memberi mereka satu atau dua balang sos tiram sebagai ganti, tapi kami tidak bertanggunjawab terhadap sebarang pampasan melainkan terdapat bukti kukuh,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI