fbpx

Keseronokan bercuti dengan campervan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHRUL FAZLY (kiri) dan isteri mengembara menggunakan campervan milik mereka sejak setahun lalu.

MENGUBAH suai van Daihatsu Hijet S89 berusia dua dekad itu menjadi campervan memberi pengalaman percutian istimewa buat pasangan Shahrul Fazly Abdullah Sani, 32, dan Syafiqah Jumali, 26, sejak setahun lalu.

Persis sebuah rumah bergerak, van hitam diberi nama Bangsal Hitam itu dilengkapi dengan tempat tidur, langsir, peti sejuk kecil dan ruang memasak.

Tidak ketinggalan, ia turut dilengkapi dengan kipas pengudaraan untuk memberi keselesaan ketika tidur pada waktu malam.

Shahrul Fazly turut memasang sistem solar untuk menjana tenaga elektrik, begitu juga sistem air manual.

“Saya mengambil masa sekitar enam bulan untuk membuat pengubahsuaian van tersebut sedikit demi sedikit yang menelan kos sekitar RM1,500.

“Pengubahsuaian campervan ini merupakan 100 peratus hasil tangan sendiri yang dipelajari daripada YouTube,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

 

PENGEMBARAAN menggunakan campervan menjimatkan kos dan tidak terikat dengan kekangan waktu oleh mana-mana pihak.

 

Sehingga kini, Shahrul Fazly, isteri dan bayi lelaki mereka berusia setahun tujuh bulan telah mengembara bersama van ini ke beberapa tempat seperti Pantai Nelayan, Port Dickson, Pengkalan Balak (Melaka), Bagan Lalang (Selangor) serta Janda Baik di Pahang.

Berbicara lanjut mengenai idea bercuti dengan campervan itu, Shahrul Fazly memberitahu, ia bermula apabila van tersebut yang pada asalnya digunakan untuk berniaga tersadai begitu sahaja selepas dia berhenti menjalankan perniagaan.

Secara tidak sengaja dia melihat campervan ketika berkelah di tepi pantai, lantas memberikannya idea untuk membuat pengubahsuaian ke atas van tersebut.

Jelas penjawat awam itu, dia sentiasa membuat penambahbaikan setiap kali balik bercuti untuk memberikan keselesaan.

“Bercuti dengan campervan membolehkan saya meluangkan lebih banyak masa bersama isteri dan anak.

“Kos juga dapat dijimatkan kerana tidak perlu membuat tempahan hotel, manakala makanan juga dimasak sendiri,” ujarnya yang gemar melakukan aktiviti berkelah pada masa lapang.

Shahrul Fazly memberitahu, kebanyakan wang dikeluarkan hanya untuk minyak dan tol.

Paling maksimum perbelanjaan yang pernah dikeluarkan oleh pasangan itu ialah RM150 untuk semalam.

 

PENYEDIAAN ruang tidur memberi keselesaan kepada pengguna campervan untuk pergi bercuti.

 

Bagi memastikan keselamatan semasa aktiviti percutian dengan van tersebut, dia akan memastikan tempat yang dituju tidak terpencil dan bersih bagi mengelakkan binatang buas atau kejadian tidak diingini.

“Saya akan membuat persediaan awal sebelum memulakan perjalanan dengan melakukan pemeriksaan keadaan van dan memastikan bekalan makanan mencukupi serta kelengkapan memasak dibawa bersama.

“Selalunya, saya akan membuat persediaan dua hari lebih awal,” tuturnya.

Kehadiran Shahrul Fazly sekeluarga sering menjadi perhatian orang ramai dan ada yang datang bertanya mengenai van itu kerana berminat untuk bercuti dengan campervan seperti dilakukan mereka.

Sementara itu, isterinya Syafiqah menyokong penuh minat suaminya untuk mengembara dengan van tersebut terutamanya di kawasan kampung dan berdekatan sungai.

“Mula-mula takut juga nak mengembara dengan campervan, tetapi apabila mencubanya, timbul rasa seronok dan nak teruskan percutian dengan konsep sebegini.

“Saya rasa sangat selesa bercuti dengan campervan kerana perjalanan mengikut masa kita sendiri tanpa perlu terikat dengan mana-mana pihak,” tutur suri rumah itu.

Tambahnya, perjalanan dengan van itu juga memberinya lebih masa untuk diluangkan bersama keluarga kecilnya itu.

Pasangan tersebut kini merancang untuk mengembara ke Selatan tanah air pada akhir tahun ini selama seminggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI