fbpx
KUMPULAN BUNKFACE

Bunkface dahagakan apresiasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAMPIR sedekad berada dalam industri, kumpulan kegilaan remaja suatu ketika dahulu, Bunkface sudah semakin matang, dari segi lirik bahkan muzik yang dipersembahkan.

Dahulu, kumpulan yang berasal dari Klang, Selangor itu sering menyajikan peminat dengan lagu-lagu bergenre pop punk.

Melewati era millenia, Bunkface yang dianggotai Shamsul Anuar Mohd. Baharom atau Sam, Farouk Jaafar (Youk) dan Ahmad Farhan Hashim (Paan) hadir dengan single terbaharu, Yang Benar Aku.

BUNKFACE kini muncul dengan sisi lebih matang menerusi Yang Benar Aku.

Lagu yang dilancarkan Jun merupakan hasil eksperimen mereka bersama penyanyi serta komposer terkenal, Faizal Tahir.

Naskhah terbaharu tersebut jelas menampakkan kelainan berbanding lagu-lagu terdahulu seperti Situasi dan Revolusi.

Siapa sangka kumpulan yang berkonsepkan punk rock ini muncul dengan genre yang lebih dewasa selari dengan status suami dan bapa.

Yang Benar Aku

Bercerita tentang Yang Benar Aku, Sam selaku vokalis memberitahu, lagu tersebut begitu istimewa kerana dicipta dan ditujukan khas untuk anak-anak mereka iaitu Maleeq (anak Sam), Umar (anak Youk) serta Safiya (anak Paan).

“Keistimewaan Yang Benar Aku ialah lagu ini mempunyai mesej mendalam yang memang lahir daripada hati seorang bapa iaitu kami kepada anak-anak.

“Lagu ini sudah sampai ke tahap lain yang lebih tinggi iaitu kini semua ahli Bunkface sudah bergelar bapa. Sebelum ini kami menyanyi sebagai individu bujang dan belum dikurniakan cahaya mata. Jadi mesejnya sangat dekat dengan kami,” katanya.

KEHADIRAN anak yang dianggap sebagai anugerah terindah dalam kehidupan Paan, Sam dan Youk.

Ujar penyanyi berusia 32 tahun itu, kematangan jiwa tersebut diakui semua ahli memandangkan muzik yang dimainkan mereka juga semakin ‘berat’.

“Lagu kami kali ini bukan lagi tentang cinta atau protes tetapi berubah ke arah kasih sayang seorang bapa kepada anaknya. Berbeza sangat.”

“Status sudah berubah, perasaan dan cerita pun sudah lain. Jadi apa yang kami rasa pun sudah berbeza berbanding ketika zaman muda-mudi dahulu,” ujar Sam.

Sisi matang Bunkface jelas terpancar ketika mereka bercerita tentang harapan terhadap anak-anak yang semakin membesar.

“Kami ingin dan sentiasa mendoakan anak-anak menjadi soleh dan solehah apabila dewasa kelak,” tambah Sam.

Mendalam dan penuh makna. Itulah doa yang dititipkan tiga anggota Bunkface buat anak-anak mereka. Sam menambah, lagu berkenaan memberi cabaran besar kepadanya kerana perlu menyampaikan melodi gubahan komposer lain.

SAM mulanya janggal mendendangkan lagu gubahan komposer lain.

“Selalunya, sebelum ini saya menyanyikan lagu ciptaan kami sendiri tetapi untuk Yang Benar Aku, memang satu cabaran baharu kepada kami.

“Namun, kami sambut baik kerjasama dengan Faizal, malah saya sendiri juga suka mencabar diri untuk melakukan perkara baharu seperti ini,” kata Sam.

Menurut vokalis yang juga adik kepada dramatis terkenal, Siti Saleha itu, jika diamati, pendengar tentunya dapat merasakan sedikit identiti muzik Faizal menerusi Yang Benar Aku.

Semua orang tahu, Faizal ada identiti tersendiri dalam setiap naskhah yang dihasilkan, sama juga dengan Yang Benar Aku. Biarpun disampaikan Bunkface, namun identiti penyanyi Ragaman itu tetap dapat didengari.

“Pada awalnya, kami sendiri pun rasa agak janggal, tetapi untuk memberikan jiwa yang berbeza, kami cuba mengadaptasi karya kali ini. Maka, terhasillah lagu dua gabungan antara Bunkface dan Faizal,” katanya.

Pengalaman bekerja dengan Faizal juga menjadi satu pengalaman baharu buat Bunkface.

“Kami pernah bekerja dengan Faizal, tetapi untuk penghasilan dalam sebuah karya yang lengkap sebegini, ini adalah pengalaman pertama buat kami,” ujar Sam.

Paan yang sekadar mengiakan penjelasan Sam tiba-tiba mencelah. Katanya, Bunkface amat mengharapkan sokongan daripada dua kelompok iaitu peminat Faizal dan Bunkface sendiri.

“Kami juga mengharapkan sambutan dan sokongan daripada peminat baharu sebab ini merupakan lagu gabungan antara Bunkface dan Faizal.

“Dari situ, lagu dan mesejnya tersebar dengan luas kepada semua pendengar.

“Alhamdulillah, kebanyakan pendengar memberikan respons positif. Biarpun tiada pujian melambung tetapi mereka faham dengan apa yang kami cuba ketengahkan iaitu anak ialah anugerah terindah,” kata Paan

KEDEWASAAN dan kematangan tidak hadir sekelip mata. Bunkface sendiri mengakui, perubahan status dan usia banyak mempengaruhi muzik mereka.

Penghargaan

Beralih daripada Yang Benar Aku kepada situasi semasa didepani hampir seluruh kumpulan muzik tempatan, Bunkface berharap pemuzik tanah air terus dihargai dan diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi.

Sudah menjadi adat manusia, masing-masing sentiasa haus pujian dan penghargaan. Sama juga halnya dengan Bunkface.

Bagi Youk, apresiasi amat penting untuk mana-mana artis, tidak kiralah solo mahupun berkumpulan.

“Penghargaan penting sebab kalau tidak dihargai, jika tiada penilaian sewajarnya, sesuatu perkara tidak mempunyai nilai di mata manusia. Sama juga dengan muzik.

“Kelemahan ketara ketika ini adalah kurangnya penghargaan daripada semua pihak khususnya dalam industri tempatan tanah air,” ujarnya.
Youk menambah, sekiranya sesebuah naskhah atau penyanyi itu dihargai, pasti mampu menjadi yang lebih baik dan hebat.

Cabaran lain yang terpaksa ditempuh sebagai artis berkumpulan juga ialah persaingan dengan ramai artis baharu dalam pelbagai platform.

“Kami perlu mencabar diri bekerja lebih keras dan meningkatkan diri ke satu tahap yang lebih tinggi. Tulis lagu yang lebih sedap, kena ke tahap tinggi.

“Situasi kami lebih sukar berbanding dahulu. Kena bergerak maju setapak ke depan daripada orang lain. Itu sahaja caranya, Insya-Allah,” katanya menutup perbualan.

MENERUSI single terbaharu berjudul Yang Benar Aku, muzik dan penceritaan Bunkface bukan lagi tentang cinta dan protes, sebaliknya berubah ke arah kasih sayang seorang bapa terhadap anak – THE X2 PRODUCTIONS (@_thex2productions)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN