PUTRAJAYA – Empat kluster aktif dalam negara mencatatkan kes baharu hari ini dengan paling tinggi di Kluster Sungai sebanyak 13 kes.
Tiga lagi kluster yang merekodkan kes baharu adalah Kluster Benteng LD dengan dua kes serta masing-masing satu kes di Kluster Tawar dan Kluster Telaga.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berkata, kira-kira 53 peratus kes dalam Kluster Sungai yang membabitkan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan di Kedah adalah berpunca daripada penularan dalam kalangan petugas kesihatan sendiri.
“Jangkitan daripada komuniti adalah sebanyak 22 peratus manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status Covid-19 pula adalah sebanyak 17 peratus.
“Setakat ini, tiada petugas kesihatan yang dijangkiti semasa pengurusan pesakit Covid-19 di wad khusus virus itu atau di Unit Rawatan Rapi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, satu lagi kes penularan tempatan membabitkan satu kes saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah.
“Enam kes import pula melibatkan tiga warganegara dan tiga warga asing yang mendapat jangkitan dari Bangladesh, China, Indonesia, Singapura dan Korea Selatan,” katanya. -K! ONLINE














