fbpx

Hanya satu syarikat ada pensijilan halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

PANDEMIK Covid-19 yang me­landa negara dan seluruh dunia mengakibatkan permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran makanan melonjak naik.

Selain lebih mudah dan ditawarkan pada harga berpatutan, servis yang diberikan mematuhi garis panduan penjarakan fizikal dan tidak melibatkan banyak sentuhan, sesuai dengan norma baharu kehidupan sekarang.

Seorang pengusaha kedai kek yang ditemu bual penulis memberitahu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac lalu, permintaan pelanggan untuk keknya tidak putus, malah naik berkali ganda berbanding sebelumnya.

Bukan setakat untuk dinikmati sendiri dan keluarga, majoriti tempahan kek yang dibuat dengan pengusaha ini sebenarnya untuk dihadiahkan kepada orang lain sebagai tanda penghargaan atau buat pengubat rindu kerana lama tidak dapat bersua muka.

Pergerakan yang terhad menyebabkan perkhidmatan penghantaran makanan sibuk.

Bagaimanapun, ramai pengguna atau peniaga tidak menyedari bahawa tidak banyak perkhidmatan penghantaran makanan di negara ini yang mendapat pensijilan halal Malaysia.

Seorang rakan penulis yang beragama Islam pernah menghantar makanan mengandungi produk berasaskan babi sewaktu bekerja dengan sebuah syarikat penghantar makanan tahun ini.

“Patutlah pekerja restoran itu nampak takut-takut masa me­nyerahkan menu yang ditempah, dia lihat aku orang Islam agaknya.

“Masa menyerahkan makanan kepada pelanggan aku sempat melihat resit penghantaran, tertulis perkataan pork sausage.

“Aku buat aduan kepada pihak syarikat, nampaknya mereka ambil maklum sebab tidak lama kemudian, setiap tugasan penghantaran yang mengandungi makanan tidak halal akan dilabelkan untuk pengetahuan si penghantar,” ceritanya.

Masalahnya, kenalan penulis ini mengaku tidak mengambil inisiatif untuk menyucikan motosikalnya selepas menghantar juadah tersebut.

Rujukan penulis kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula mendapati, kini cuma terdapat sebuah syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran makanan yang mempunyai pensijilan halal iaitu Faszz Technology (M) Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Bukit Kiara.

Jenama yang digunakan ialah FaszzFood, Jadi sekiranya anda menggunakan perkhidmatan ini, makanan yang dihantar ditanggung halal dan boleh dinikmati sekeluarga tanpa waswas.

Jelas Pengarah Bahagian Pe­ngurusan Halal Jakim, Bukhari Md. Akhir, sebelum ini terdapat sebuah lagi syarikat penghantaran makanan yang menerima pensijilan halal Malaysia, iaitu Bungkus, namun ia tidak lagi beroperasi.

Katanya, syarikat penghantaran bersaiz gergasi di negara ini jangankan mendapat pensijilan halal, memohon pun tidak.

“Padahal beberapa kali pihak mereka datang bertemu kami untuk meminta nasihat.

“Macam-macam juga pe­ngubah suaian dilakukan dalam operasi perkhidmatan mereka untuk mendapatkan pensijilan tetapi akhirnya mereka tetap tak memohon sijil tersebut.

“Sebenarnya ramai yang tidak mengetahui modus operandi penghantaran makanan ini, kita tempah di restoran yang kita rasakan baik, namun kita tak tahu kotak penghantaran yang mereka gunakan itu hanya untuk makanan halal atau tidak dan bagaimana pengurusan kotak tersebut,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI