fbpx

Pilih calon berilmu atau calon berduit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA KOSMO.

 

KURANG dua minggu dari sekarang, negara bakal meraikan satu lagi hari bersejarah dikenali sebagai Hari Malaysia. Lebih tepat ialah pada 16 September, iaitu tarikh simbolik bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia.

10 hari selepas sambutan itu, satu peristiwa besar akan berlaku dan kali ini ia berfokus kepada negeri Sabah. Pada tarikh 26 September, dianggarkan lebih 1.1 juta pengundi berdaftar di negeri itu akan membuang undi bagi membolehkan sebuah kerajaan negeri yang sah dibentuk menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, sebelum 26 September, tumpuan lebih awal pastinya terarah kepada tarikh 12 September. Pada hari tersebut, senarai calon-calon bertanding bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan.

Dengan 73 kerusi DUN dipertandingkan, tambahan 13 kerusi berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, maka dianggarkan lebih 300 calon akan mencuba nasib untuk menjadi YB (Yang Berhormat).

Istimewanya berada dalam sebuah negara yang melaksanakan sistem demokrasi berparlimen, rakyat mempunyai kuasa mutlak untuk memilih wakil mereka. YB yang dipilih itu kemudian akan menjadi wakil kepada rakyat kawasannya untuk duduk di kerusi empuk Parlimen atau di bangunan DUN.

Persoalan kini, siapa wakil rakyat yang sesuai untuk duduk di kerusi empuk itu? Adakah mereka yang terdiri daripada golongan profesional dan berpendidikan, ataupun kumpulan ahli politik yang berpengaruh dari segi kuasa dan wang ringgit.

Melihat perkembangan di Sabah sejak dua minggu lalu, pelbagai drama politik telah disajikan oleh kumpulan-kumpulan ini dalam misi membentuk kerajaan.

Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman mi­salnya mengemudi sebuah parti tempatan yang memutuskan untuk bergerak sendiri.

Senada dengan PCS ialah Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Tan Sri Chong Kah Kiat. Bekas Ketua Menteri Sabah itu menegaskan partinya juga akan bergerak sendiri tanpa menyertai mana-mana gabungan dengan sasaran bertanding di 40 kerusi DUN.

Ironinya, baik PCS dan LDP, dua parti utama iaitu Warisan Plus (Parti Warisan Sabah, DAP, PKR, UPKO dan Amanah) serta Perikatan Nasional juga mengesahkan akan meletakkan calon terbaik di semua kerusi DUN.

Paling mencuri tumpuan pastinya khabar angin ­me­ngenai status bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang dikatakan akan bertanding di DUN Bingkor atas tiket Warisan.

Selain Richard, bekas speaker parlimen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga dikaitkan bakal menjadi calon PRN bersama-sama tiga bekas Ketua Menteri iaitu Chong Kah Kiat, Datuk Seri Salleh Tun Said dan Datuk Seri Yong Teck Lee.

Apa yang pasti, penampilan semula nama-nama besar ini dijangka memberi rencah baharu kepada senario politik Sabah. Ia juga bakal menjawab persoalan sama ada kuasa, wang ringgit dan pengaruh masih relevan untuk memikat hati pengundi. Ataupun pengundi lebih bersedia memilih calon ‘kerdil’ tapi berilmu dan berintegriti.

Seperti kata Presiden pertama Indonesia, Pak Soekarno, “Janganlah kita lupa tujuan kita, bahawa para pemimpin itu sebenarnya berasal dari rakyat dan bukan berada di atas rakyat.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI