fbpx

Merdeka paling bermakna buat Aiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIMAN (kanan) bersama pasukannya AROV membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 selepas muncul naib juara saingan PMNC 2019.

TARIKH keramat 31 Ogos iaitu hari kemerdekaan menjadi detik istimewa buat pemain profesio­nal e-Sukan negara, Muhammad Aiman Hafizi selepas permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia akhirnya diluluskan dan menerima sijil kewargane­garaan itu pada 1 September.

Muhammad Aiman Hafizi atau dikenali sebagai Amypro sebelum ini berdepan masalah apabila impiannya untuk beraksi di peringkat antarabangsa untuk mewakili Malaysia pada kejohanan e-Sukan tidak tercapai selepas berdepan masalah me­ngenai status warganegara.

Amypro tampil cemerlang bersama pasukan AROV Esports (AROV) apabila layak ke China pada Kejohanan Liga PMCO Asia Tenggara Musim Bunga 2019 di Shanghai dan Liga PUBG Mobile Club Open (PMCO) Asia Tenggara Musim luruh 2019.

Akibat masalah itu, Amypro membuat keputusan tidak lagi menyertai mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa bagi mengelakkan masalah kepada pasukannya yang terpaksa mencari penganti pada saat-saat akhir.

“Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang memudahkan urusan saya untuk mendapatkan kad pengenalan. Saya akui proses untuk mendapatkan warganegara Malaysia bukan mudah kerana perlu melalui proses yang ketat. Ini adalah berita ditunggu-tunggu oleh ke­luarga saya yang menanti tempoh 20 tahun.

“Keluarga pernah buat permohonan pada tahun 2012 dan ketika itu umur saya 12 tahun. Pada 2015 permohonan saya ditolak tanpa dinyatakan sebarang sebab lanjut.

Kami tidak berputus asa dan cuba sekali lagi. Pada tahun lepas saya sekali lagi menyemak di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya dan akhirnya permohonan saya telah diluluskan pada Januari 2020.

“Pihak kerajaan telah menghantar surat ke Taiping, Perak iaitu alamat tinggal saya, namun keluarga memberitahu tidak dapat sebarang surat. Mungkin terdapat kesilapan tetapi saya bersyukur kerana Kerajaan Malaysia telah meluluskan.

“Sebak, sedih, gembira semua saya rasai ketika ini dan saya tidak tahu untuk cakap apa-apa kerana penantian lebih dua dekad akhirnya berjaya menjadi warganegara Malaysia yang sah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

AIMAN gembira selepas hasratnya menjadi warganegara Malaysia akhirnya diluluskan dan menerima sijil kewarganegaraan pada 1 September lepas.

Amypro tinggal bersama ke­luarga angkat ketika usia 10 hari selepas ditinggalkan ibu kan­dungnya yang merupakan warga­negara Indonesia. Status ibu kandung Amypro tidak diketahui sehingga hari ini.

Amypro membesar di Tai­ping, Perak, tidak mempunyai kad pengenalan dan hanya bergantung kepada surat beranak yang didaftar oleh keluarganya sekali gus berdepan pelbagai masalah.

Ketika ditanya mengenai harapan dalam e-Sukan, Amypro mengakui dia mahu mengibarkan bendera Malaysia ke pentas antarabangsa dan mahu mengharumkan nama negara sebagai tanda terima kasih.

AIMAN (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukannya meraikan kejayaan muncul naib juara saingan PMNC 2018 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Lima kejohanan di peringkat antarabangsa saya telah korbankan dan saya tidak mahu terlepas sekali lagi untuk bergelar pemain profesional. Memang impian saya mahu membawa ben­dera Malaysia ke persada dunia.

“Buat masa ini saya tidak boleh menyertai pasukan kerana pendaftaran untuk beraksi pada saingan antarabangsa telah ditutup. Ketika berdepan masalah, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada pasukan AROV kerana saya tidak mahu menyusahkan mereka.

“Kerana saya seorang mereka terpaksa mencari pemain baharu kerana saya tiada kad pe­ngenalan dan tidak boleh berlepas ke luar negara. Jadi itu menjadi masalah buat mereka untuk mencari pemain terbaik,” ujar­nya.

Kes Amypro pernah mendapat perhatian ramai pada Ogos tahun lalu termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalannya, Steven Sim serta aktivis Kanak-Kanak Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa­ Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-­Bangsa Bersatu (UNICEF), Datuk Dr. Hartini Zainuddin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI