fbpx

Pengundi tidak perlu bimbang keluar tunaikan tanggungjawab Sabtu ini – Ketua Polis Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (tengah) menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar antara Razali dan Omar Bakhtiar (kanan) di Kompleks Perumahan IPD Kuala Kangsar hari ini./ FOTO - ZULFACHRI ZULKIFLI.

KUALA KANGSAR – Orang ramai yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tidak perlu bimbang mengenai keselamatan diri masing-masing untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya telah membuat persediaan secukupnya agar proses pengundian PRK DUN Slim berjalan lancar termasuk rondaan dan kawalan lalu lintas.

“Orang ramai yang layak mengundi untuk PRK ini tidak perlu bimbang mengenai keselamatan diri kerana pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengambil membuat persediaan rapi untuk proses pengundian Sabtu ini.

“Oleh itu, para pengundi disarankan keluar mengundi awal dan mengikut masa yang ditetapkan SPR agar semua dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menyaksikan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar antara Asisten Komisioner Razali Ibrahim dan Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob di Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sini hari ini.

Tambah Razarudin, pihaknya memuji SPR yang turut menyediakan saluran undi yang selesa buat para pengundi walaupun dalam keadaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk saluran khas buat pengundi bergejala.

“Keadaan tempoh berkempen setakat ini berjalan dengan aman dan tiada sebarang provokasi daripada mana-mana pihak.

“Di sini suka saya ingatkan kepada semua termasuk calon dan penyokong masing-masing agar teruskan keadaan yang aman ini di DUN Slim sehingga proses pengundian selesai Sabtu ini,” katanya.

Katanya, setakat ini pihak polis menerima empat laporan polis berkaitan PRK DUN Slim, namun hanya satu kertas siasatan dibuka melibatkan kes khianat apabila satu papan kempen calon parti yang bertanding disembur cat di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai.

“Tiga laporan lain termasuk dakwaan penyalahgunaan agensi kerajaan ketika berkempen pula kita klasifikasikan sebagai tiada apa-apa kesalahan (NOD),” katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, Omar Bakhtiar, 56, yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Kerian dinaikkan pangkat daripada Superintendan kepada Asisten Komisioner dan mula bertugas di IPD Kuala Kangsar hari ini, manakala Razali, 60, bersara wajib bermula esok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI