fbpx

CS3, PRIMA bantu staf di lapangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SISTEM CS3 dapat membantu pelbagai pihak melaksanakan operasi harian.

KEMAJUAN dalam bidang teknologi kini menyaksikan pelbagai jenis kerja dilaksanakan dengan menggunakan sistem digital.

Sistem digital adalah satu teknologi data yang menggunakan nilai-nilai diskrit.

Seiring dengan transformasi ke arah pendigitalan, sebuah syarikat pembangunan teknologi tempatan, Mindmatics Sdn. Bhd. (Mindmatics), melancarkan dua produk sistem pengurusan dan kawalan operasi digital baharu dikenali sebagai CS3 dan PRIMA.

Kedua-dua produk tersebut, direka cipta dan dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga pakar teknologi tempatan.

Sistem itu berkeupayaan untuk berhubung dengan anggota di lapangan melalui pelbagai platform komunikasi serta peralatan perisikan dan pengawasan.

Pengarah Operasi dan Teknikal Mindmatics, Dr. Abdul Rahim Mat Sidek berkata, sistem CS3 itu dapat membantu pelbagai pihak terutamanya unit berunifom seperti tentera, bomba, polis dan pihak berkuasa lain ketika menjalankan tugasan harian.

Katanya, selain itu, ia juga amat membantu dalam operasi khas seperti pengurusan bencana serta mencari dan menyelamat.

“Sistem ini juga boleh diguna pakai sebagai platform perhubungan langsung antara masyarakat dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat penting seperti kerosakan fasiliti awam, jalan berlubang mahupun insiden kemalangan.

 

 

“Maklumat berbentuk teks, visual, video, suara dan lokasi boleh dikongsikan secara mudah menggunakan telefon bimbit. CS3 juga dilengkapi dengan keupayaan sistem pengkelasan dan analisis maklumat, pengurusan peta, pelaporan digital dengan keupayaan untuk disepadukan dengan teknologi AI (artificial intelligence) dan Big Data,” katanya.

Menurutnya, sistem CS3 juga sesuai diguna pakai oleh badan korporat dengan operasi lapangan yang menyeluruh seperti bidang telekomunikasi, tenaga, perladangan, logistik, pengangkutan, peruncitan mahupun pelancongan.

Dalam pada itu, menyedari keperluan pihak berkuasa dalam menjalankan tugasan kritikal seperti pengurusan bencana atau operasi mencari dan menyelamat, Mindmatics juga memperkenal sistem Kabin Mudah Alih PRIMA.

Abdul Rahim berkata, kabin yang direka bentuk dan dibangunkan melalui piawaian antarabangsa berkenaan boleh dibawa ke lokasi kejadian dan bertindak sebagai pusat operasi.

“Operasi pengurusan bencana seperti banjir besar atau operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai pihak serta ramai anggota.

“Dengan adanya kabin mudah alih yang dilengkapi dengan sistem pengurusan perintah dan kawalan operasi digital CS3, pihak terbabit mampu mengendalikan operasi dengan lebih bersepadu dan berkesan,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, Mindmatics menyasarkan kedua-dua produk CS3 dan PRIMA yang dibangunkan dengan mengambil kira keperluan dan standard operasi tempatan mampu menembusi pasaran negara serta ASEAN.

Mindmatics Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat teknologi tempatan yang pakar dalam pelbagai bidang berkaitan perintah, kawalan, komputer, komunikasi, risikan, pengawasan dan pengecaman (C4ISR) untuk operasi pertahanan, keselamatan, kerajaan tempatan dan organisasi korporat.

Mindmatics komited dalam penyelidikan dan pembangunan berterusan untuk mereka bentuk dan membangunkan teknologi dan peralatan sendiri dalam sistem pertahanan dan sekuriti yang dipatenkan.

Hasilnya, syarikat itu berjaya meningkatkan kecekapan melalui penggunaan peralatan dan teknologi terkini dan dibangunkan secara tempatan.

Semua sistem dan peralatan Mindmatics direka bentuk dan dibangunkan menggunakan kepakaran tempatan.

Sesetengah peralatan telah digunakan oleh pihak berkuasa dalam sektor pertahanan dan sekuriti tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI