fbpx

Anak autisme ‘bertangan emas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORHASHIMAH (kiri) banyak membantu perkembangan Jamila menjadi seorang pelukis. – FOTO AMIR KHALID

SESI temu bual bersama penghidap autisme, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 18, berjalan lancar meskipun remaja berkenaan tidak banyak berbicara apabila disoal.

Sama seperti insan senasib dengannya, Wan Jamila atau lebih mesra dipanggil Jamila mempunyai sifat pemalu yang menebal dalam diri apabila disapa oleh orang yang tidak dikenali.

Meskipun begitu, Jamila sering menguntum senyuman saat jurufoto memintanya untuk merakamkan gambarnya sewaktu berkarya di rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

“Saya sedang melukis karya mengenai barisan hadapan negara ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” ujar Jamila ringkas sambil sepasang matanya tertumpu pada karya terbaharunya itu.

Disebabkan karakter Jamila yang kurang berbicara, sesi temu bual bersamanya berjalan dengan bantuan ibunya, Noorhashimah Mohamed Noordin, 59, yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ekspresi diri

Katanya, Jamila yang juga anak keempat daripada lima beradik itu dikesan menghidap autisme ketika berusia empat tahun selepas menjalani diagnosis di sebuah hospital swasta.

“Saya memang sedar anak saya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan hubungan sosial dengan orang di sekelilingnya.

“Pada mulanya, saya anggap ia perkara normal bagi kanak-kanak seusianya. Apabila disahkan oleh pakar, saya menerima takdir ini,” ujarnya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Walaupun mempunyai perwatakan berlainan, namun Jamila dikurniakan bakat luar biasa dalam bidang seni terutamanya bagi menzahirkan ekspresi dirinya terhadap satu-satu perkara.

Pada awal pembabitan Jamila, dia dilihat kerap melukis watak manusia bagi menggambarkan perasaannya sama ada sedih, gembira atau marah.

Minat Jamila terhadap lukisan kian terserlah sewaktu berada di sekolah rendah apabila melukis aktiviti di bilik darjah di dalam buku tulis.

“Ketika mengikuti persekolahan peringkat rendah di Sekolah Seri Acmar, Klang, Jamila dimasukkan ke kelas pendidikan khas.

Sekolah itu adalah institusi persendirian.

“Bermula daripada situ, minatnya terhadap bidang lukisan makin terserlah apabila banyak melukis suasana aktiviti bersama rakan-rakan,” imbaunya.

Menariknya, lukisan yang dihasilkan oleh Jamila ketika itu sangat baik dan kemas setaraf karya pelukis terkemuka meskipun tidak pernah mendapat tunjuk ajar daripada sesiapa.

Rentetan itu, Noorhashimah meminta bantuan seorang pelukis tempatan untuk membimbing dan memberi nasihat secara profesional.

Jika sebelum ini, Jamila melukis menggunakan buku tulis dan pen, namun selepas mendapat nasihat pelukis berkenaan, dia mula beralih kepada medium cat akrilik atas kanvas.

“Hasil lukisannya menjadi semakin kemas dan cantik. Jamila amat menggemari tema wanita berambut panjang, periuk, cawan, penari, model peragaan, selain fesyen, bunga dan mozek ikan,” katanya.

Noorhashimah berkata, pameran profesional pertama yang disertai anaknya adalah Independent Arts, Converge and Connect anjuran Telekom Malaysia di ibu negara pada Mac 2017.

Sejak itu, Jamila tidak pernah sunyi menerima jemputan daripada galeri tempatan dan seberang laut untuk menyertai pameran.

Hasil daripada pameran yang disertainya, beberapa buah lukisan berjaya dijual kepada orang kenamaan seperti Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim selain syarikat korporat seperti Tenaga Nasional Berhad dan Perbadanan Putrajaya.

“Harga lukisan Jamila sekarang mencecah puluhan ribu ringgit. Hasil jualan yang diperoleh ini sedikit sebanyak membakar semangat Jamila untuk terus menghasilkan karya terbaik selepas ini,” terangnya.

Selain itu, Jamila aktif menyertai dan memenangi pertandingan lukisan yang dianjurkan oleh organisasi dan badan bukan kerajaan di seluruh dunia.

Antara pencapaian Jamila adalah memenangi Anugerah Arca Putrajaya 2019, Duta Kesedaran Pencemaran Laut oleh ViaTalenta Foundation dari Switzerland dan Anugerah Bintang Autisme 2019 sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia.

Lukisan Jamila turut diabadikan pada arca Putrajaya yang diletakkan di Dataran Putra, Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019. Ia telah dipilih oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Terbaharu, karya Jamila mendapat tempat pertama dalam pertandingan peringkat Asia anjuran Artdialogo Asia dengan bertemakan A Salute to Our Frontliner Around the World.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI