fbpx

Sistem imigresen baharu ganti MyIMMs pada 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (kanan) ketika mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), BSI, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk meningkatkan keupayaan pergerakan keluar masuk sempadan dijangka bermula 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selepas berfungsi kelak, sistem itu bakal dilengkapi keupayaan biometrik yang tinggi dan sekali gus dapat mengatasi kelemahan sedia ada.

Katanya, kerajaan telah membuka tawaran tender kepada beberapa syarikat yang berminat untuk membangunkan sistem baharu tersebut.

“Ini merupakan antara perancangan kerajaan untuk memastikan pergerakan keluar masuk negara khususnya di pintu sempadan ke Singapura berjalan lancar.

“NIISE itu nanti bukan sahaja akan mengesan pergerakan keluar masuk warga asing malah mampu mengesan tujuan mereka masuk sama ada untuk bekerja atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) hari ini.

Dalam masa sama, Hamzah memaklumkan, selain itu kerajaan akan menambah jumlah kaunter pemeriksaan kira-kira kepada 40 buah di BSI bagi mempercepatkan pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia.

Katanya, langkah itu secara langsung dapat mengatasi kesesakan di Tambak Johor kerana laluan itu dilalui lebih 400,000 orang pada setiap hari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI