fbpx
Aminur

Aminur serik makan ubat untuk kurus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Menjadikan kesilapan lalu sebagai pe­ngajaran yang berharga, Aminur Rasyidin A. Rahman, 28, kini lega apabila berjaya mencapai berat badan ideal yang diidaminya sejak kecil.

Pemuda kelahiran Johor Bahru itu yang kini bekerja sebagai Eksekutif Sumber Manusia di sebuah syarikat pembinaan di ibu kota, membesar sebagai remaja yang gempal dengan berat badan menghampiri 100 kilogram pada usia 19 tahun.

“Akibat terlalu menginginkan tubuh yang kurus supaya kelihatan bergaya, saya kemudiannya mula ambil makanan tambahan dan ubat kurus pada usia 20 tahun.

“Selepas saya kena cirit-birit selama sebulan, barulah saya sedar kena amal gaya hidup yang sihat bukannya dengan makan ubat kurus. Ubatan itu hanya memusnahkan diri sendiri,” katanya kepada Kosmo!.

Aminur kemudiannya mula mengikuti rakan-rakannya ke gimnasium bagi mendapatkan nasihat dalam usaha me­nurunkan berat badan secara sihat daripada jurulatih kecergasan di sana.

“Saya turun dua kilogram pertama merupakan pembakar semangat untuk terus ke gimnasium, joging dan mengamalkan pemakanan yang sihat,” jelasnya.
Aminur berkata, pada usia 28 tahun dia berjaya mengekalkan berat badan bawah 70 kilogram dan berterusan joging sekurang-kurangya 10 kilometer sehari serta mengurangkan pengambilan gula.

Menurut Aminur Rasyidin, jika ada individu yang sedang berusaha mendapatkan tubuh idaman, janganlah mudah berputus asa..

“Tidak perlu makan ubat kurus nanti kesan sampingannya dikhuatiri memudaratkan kita,” tambahnya.

BERITA BERKAITAN