fbpx
Boneka memberi definisi tersendiri buat Ernie Zakri sebagai seorang penyanyi.

Boneka beli jiwa pendengar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menerusi Boneka, perlu diakui Ernie bijak bermain dengan kepelbagaian lantunan intonasi menerusi vokal lantangnya sehingga berjaya mewujudkan karakter wanita yang ditinggalkan kekasih hati.

Tidak perlu melontarkan suara merintih sedih, kemampuan vokal Ernie yang memberi penekanan terhadap setiap bait lirik Boneka sudah cukup menggambarkan keperitan yang perlu dilalui oleh si wanita yang ditinggalkan.

Benar, kekuatan lagu berkenaan terletak pada melodi dan dibantu liriknya yang mampu meninggalkan kesan emosi kepada pendengar.

Bahkan, tidak keterlaluan sekiranya mendengar lagu ini dapat digambarkan seperti menonton sebuah pementasan teater yang mempunyai jalan cerita.

Kisah Boneka tidak tergantung, lagunya lengkap dengan plot permulaan, klimaks dan pengakhiran.

Begitulah yang dapat dibayangkan sepanjang menikmati lagu berdurasi tiga minit 50 saat tersebut.

Sebagai peminat muzik tempatan, perlu diakui lagu berkenaan mempunyai mesej klise sama seperti lagu-lagu penyanyi lain iaitu berkisarkan seorang wanita yang ditinggalkan kekasih tetapi perlu tabah menghadapi dugaan.

Biarpun mesej Boneka dianggap klise, namun cara persembahannya membuatkan karya berkenaan kedengaran lari daripada kebiasaan lagu putus cinta yang sering berputar di corong-corong radio.

Belum hilang lagi rasa terbuai dengan lagunya, penulis sekali lagi terkesima dengan setiap paparan yang menikam deria penglihatan ketika kali pertama menonton klip muzik rasmi single berkenaan.

Meskipun mengangkat mesej wanita ditinggalkan cinta hati, namun paparan klip muzik bukanlah seperti lagu cinta yang sering berlatarbelakangkan pantai dihempas ombak atau pergaduhan sepasang kekasi.

Berani mencuba perkara baharu, Ernie sekali lagi berjaya menjamu mata penonton dengan konsep yang jarang dilakukan penyanyi di Malaysia.
Biarpun sudah berhijab, Ernie berani menyarungkan busana yang dianggap pelik yang lari daripada norma kebiasaan seperti gaun labuh mahupun pakaian kasual.

Dandanannya persis patung wanita bernyawa, selari dengan mesej yang ingin disampaikan.
Biarpun diiringi dengan barisan penari yang memakai pakaian berwarna-warni, karakter Ernie kelihatan kuat dan tidak hanyut dengan kerancakan tarian yang dipersembahkan.

Begitu juga gaya hijab yang dikenakan, cukup menyerlahkan konsep boneka sebagaimana lagu.
Aspek tarian yang dipersembahkan dalam klip muzik juga mudah diikuti dan diingati.

Mungkin pendekatan sebegitu benar-benar berkesan sehingga terciptanya #bonekadancechallenge yang kini menjadi ikutan ramai.

Dapat dirumuskan, Malaysia memerlukan karya-karya hebat seperti Boneka. Mungkin Ernie dapat menjadi penanda aras untuk lahirnya naskhah hebat yang mampu mencabar penggiat seni lain demi melahirkan sesuatu yang lebih epik. Tahniah!