Memulakan siaran pertama pada 15 Ogos dengan The Prayer, setiap episod tersebut juga mendapat sentuhan daripada lapan pengarah berbeza selain menampilkan pelakon berlainan yang menghiasi setiap episod.
Untuk episod kedua yang disiarkan pada hari ini berjudul Manxin, pengarahnya Noh Duk berkata, naskhah tersebut sarat dengan persoalan dan hubung kait antara kepercayaan tilik nasib dan pertembungan ilmu sains.
“Sains wujud untuk menambah baik kehidupan manusia dari segenap aspek. Tetapi salah satu matlamat kewujudan sains ialah untuk menyelesaikan misteri di dunia dan kehidupan selepas mati.
“Jadi menerusi Manxin, saya cuba menggabungkan unsur saintifik dengan elemen mistik sebab kedua-dua subjek itu sangat dekat dengan kehidupan kita,” ujarnya.
Manxin yang merupakan episod kedua siri antologi SF8 bersiaran pada hari ini (22 Ogos) membariskan wajah terkenal seperti Lee Yeon-hee dan Lee Dong-hwi sebagai pemain watak utama.
Episod berkenaan bercerita tentang tentang watak To Sun-ho iaitu seorang detektif yang berdepan tragedi kehilangan adik perempuannya akibat terjatuh dalam sebuah lubang mendapan tanah.
Dia kemudian menemui seorang lelaki bernama Jung Ga-ram berusaha menjejaki pencipta kepercayaan Manxin untuk mencari penyelesaian masalah mereka.
Aktres Yeon-hee yang memegang watak sebagai Sun-ho menjelaskan, peranannya selaku seorang detektif memberi gambaran berbeza berbanding daripada kebanyakan naskhah yang pernah dibintangi sebelum ini.
Demi memberikan gambaran konsep karakter yang berbeza, Yeon-hee memberitahu dia banyak berinteraksi dengan pengarah di set penggambaran bagi mewujudkan kelainan.
“Dahulu saya pernah membawakan watak seorang detektif dalam drama lain tetapi karakter menerusi naskhah ini dipotretkan dengan sangat berbeza. Sun-ho seorang wanita berjiwa besar dan bebas dalam dunianya sendiri,” kata Yeon-hee.
Sementara itu aktor Dong-hwi pula menganggap sikapnya yang gemar menjadikan tilikan horoskop dalam sisipan majalah sebagai rujukan menjalani kehidupan seharian, tidak jauh berbeza daripada karakter yang dibawa dalam Manxin.
Ujar pelakon berusia 35 tahun itu, amalan membaca tilikan yang positif membuatkan perasaan dan urusan sehariannya berjalan dengan baik sepanjang hari.
“Kadang-kadang rasa macam diperbodohkan kerana perkara sama yang asyik diulang. Pernah juga saya berasa kasihan dengan diri sendiri sebab terlalu percayakan tilikan. Tetapi saya tetap akan jadikannya sebagai rujukan dalam hidup,” ujarnya.
Selain Yeon-hee dan Dong-hwi, Manxin turut membariskan pelakon lain seperti Nam Myung-ryul, Seo Hyun-woo, Lee Yeon dan Kim Han-na.
Siri SF8 disiarkan menerusi saluran Oh!K (saluran 394) setiap Sabtu pukul 8 malam.