fbpx

Kerajaan wajar manfaatkan wang tidak dituntut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Wajar bagi kerajaan memanfaatkan wang tidak dituntut, yang mana nilainya telah mencecah  hampir RM9 bilion pada 2019 bagi mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research, Jason Loh Seong Wei berkata, penggunaan wang yang tidak dituntut untuk tujuan sosial sebagai stopgap atau tindakan darurat secara sementara bukanlah hanya cadangan dasar angan-angan dan tidak boleh dicapai.

Namun katanya, Akta Wang Tak Dituntut (1965) perlu dipinda dan diganti dengan rang undang-undang baharu.

“Selagi semuanya dilakukan secara telus, bertanggungjawab, demokratik dan digunakan untuk merangsang ekonomi, adalah wajar untuk orang ramai tidak mempertikaikanya,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Namun Jason menjelaskan, Akta Wang Tidak Dituntut (1965) perlu dipinda dam diganti dengan rang undang-undang baharu.

“Sememangnya akan ada bantahan mengenai tindakan perampasan sebegini yang dianggap bercanggah dengan perlembagaan dan menceroboh hak asasi manusia serta berbentuk pencurian.

“Hakikatnya, wang ini tetap tidak dituntut dan terbiar” jelas beliau.

Menurut Jason, di bawah Akta Wang Tak Dituntut (1965), wang tersebut berada di bawah jagaan kerajaan melalui penjawat Pendaftar Wang Tak Dituntut, yang mana kerajaan merupakan pemegang amanah, bukannya badan swasta.

Oleh itu jelasnya, berdasarkan prinsip common law, kerajaan berhak secara sah mengguna atau mengurus wang yang tidak dituntut dengan apa cara sekalipun, asalkan dianggap sesuai dan tidak bertentangan dengan perlembagaan, kepentingan awam atau hal-ehwal moral.

Dalam hal ini, wang tidak dituntut boleh digunakan untuk memperluaskan penerapan Program Subsidi Gaji dengan memberi tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana.

“Selain itu, wang berkenaan boleh juga digunakan untuk isi rumah khususnya B40 dengan memberikan mereka baucar sebagai sebahagian subsidi untuk pembelian barangan keperluan.

“Memanfaatkan wang tidak dituntut untuk digunakan de­ngan niat yang baik secara sementara bakal menyumbang kepada dana kerajaan kerana setiap sen itu bernilai,” jelas beliau.