fbpx

Militan serang hotel di Somalia, 11 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail bertarikh 18 Ogos 2019 menunjukkan pemandangan di Pantai Lido, Mogadishu. - AFP

MOGADISHU, Somalia – Seramai 10 orang awam dan seorang anggota polis terbunuh dalam serangan senjata api dan bom oleh pejuang-pejuang Al-Shabaab ke atas sebuah hotel tepi pantai di ibu kota Somalia kelmarin, kata seorang pegawai kerajaan.

Jurucakap Kementerian Maklumat, Ismail Mukhtar Omar berkata, pasukan keselamatan mengambil masa empat jam untuk menawan kembali Hotel Elite di Pantai Lido, Mogadishu, selepas lima penyerang menyerbu bangunan tersebut petang kelmarin.

“10 orang terbunuh dan lima militan turut maut di samping seorang anggota polis cawangan khas Somalia,” kata Ismail.

Masih tidak jelas bagaimana pasukan keselamatan Somalia berjaya menamatkan serbuan ke atas hotel itu dan membunuh kesemua penyerang yang satu ketika, menawan sebilangan tebusan.

Awal kelmarin ketika serbuan belum berakhir, sumber keselamatan memberitahu agensi berita AFP bahawa seorang penyerang meninggal dunia dalam letupan bom kereta pada permulaan serangan, manakala dua lagi penyerang maut semasa berbalas tembakan.

Beberapa petugas ambulans di lokasi kejadian berkata, sekurang-kurangnya 28 orang cedera.

Menurut saksi, serangan bermula dengan letupan kuat, manakala orang awam melarikan diri ketika bunyi tembakan kedengaran dari Hotel Elite yang kerap dikunjungi oleh pegawai kerajaan.

“Letupan itu amat kuat dan saya dapat melihat asap di kawasan tersebut. Suasana menjadi huru-hara dengan orang ramai berlari keluar dari bangunan-bangunan berdekatan,” kata saksi, Ali Sayid Adan.

Mereka yang terbunuh termasuk pegawai kerajaan, Abdul Razak Abdi yang bekerja di kementerian maklumat,” kata rakan sekerja mangsa, Hussein Ali.
Kumpulan militan Al-Shabaab mengaku melancarkan serangan tersebut, demikian menurut kenyataan yang diterjemah oleh Kumpulan Perisikan SITE.

Kenyataan sama mendakwa bahawa pejuang-pejuang Al-Shabaab menawan Hotel Elite dalam ‘operasi mencari syahid’.

Somalia menjadi huru-hara selepas rejim tentera Presiden Siad Barre digulingkan pada tahun 1991. Perang saudara bertahun-tahun berlaku selepas itu disusuli kebangkitan Al-Shabaab yang pernah menguasai sebahagian besar Somalia dan Mogadishu.

Al-Shabaab diusir dari ibu kota Somalia itu pada tahun 2011 tetapi militannya berterusan melancarkan perang terhadap kerajaan dan kerap melakukan serangan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI