fbpx

Peluang Perak julang Liga Super

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHREL (kiri) yakin pasukan Perak mempunyai kemampuan untuk menjulang kejuaraan Liga Super musim ini menjelang saingan Liga M pada 26 Ogos nanti.

PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi percaya The Bos Gaurus mempunyai kemampuan untuk bergelar juara Liga Super musim ini menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan kembali berlangsung 26 Ogos ini.

Perak ketika ini menduduki tangga kedua dengan lapan mata hasil daripada dua kemenangan dan dua keputusan seri sebelum kancah Liga M terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Co­vid-19 pada Mac lalu.

Justeru, Shahrel, 26, percaya skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu mampu menghadirkan ancaman kepada semua pasukan memandangkan saingan Liga Super selepas ini akan diteruskan dalam tujuh perlawanan sahaja.

“Setakat ini, kami cuma dibezakan dua mata dengan pendahulu Liga Super iaitu JDT (Johor Darul Ta’zim). Jadi, saya rasa ada peluang sebab hanya tujuh perlawanan sahaja lagi diharungi.

“Perak mampu untuk memberi cabaran kepada semua pa­sukan dan akan lebih berjaya pada tahun ini. Ia tidak mustahil sebenarnya kalau Perak dapat memberikan komitmen dengan baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Penyerang skuad Harimau Malaya itu berjaya meledak tiga gol daripada empat perlawanan setakat ini selepas menghasilkan satu jaringan ketika seri 1-1 de­ngan Selangor dan dua gol sewaktu terikat 2-2 menentang Sabah.

The Bos Gaurus sudah tentunya mengharapkan pemain yang pernah berkelana ke Thailand untuk beraksi bersama Nakhon Ratchasima pada tahun 2018 itu kembali kepada prestasi terbaik selepas tiada saingan kompetitif selama empat bulan ekoran Liga M ditunda.

“Berehat lama memang gangguan kepada prestasi pemain. Sekarang lega sedikit sebab kami sudah boleh bermain beberapa perlawanan persahabatan dan pemain sudah mendapatkani semula momentum dan stamina masing-masing,” jelasnya.

Juara Piala Malaysia 2018 itu berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-1 menerusi dua gol pantas dalam tempoh tiga minit daripada Farid Khazali (m-80) dan Guilherme De Paula pada minit ke-83 pada aksi persahabatan di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI