fbpx

Kegembiraan bercuti di Pulau Pangkor, Cameron Highlands berakhir tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Mohd. Zairul dan isteri, Noratiqah bersama anak mereka Muhammad Haziq Zikri serta Nur Qaseh Damia.

Oleh AZAHAR HASHIM

KULIM – Tujuh sekeluarga yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 5 Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini sempat bercuti di Pulau Pangkor, Perak sebelum ke Cameron Highlands pada Isnin lalu.

Mereka dikatakan pergi ke Pulau Pangkor pada Ahad lalu bersama sebuah lagi keluarga, bagaimanapun keluarga terbabit  terus pulang ke Padang Serai, Kulim dekat sini.

Semua mangsa bermalam di Cameron Highlands sebelum terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Badlishah dan Kampung Indah di sini.

Dalam kemalangan kira-kira pada pukul 5.30 petang itu, kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza dinaiki 10 sekeluarga itu dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler.

Seramai tujuh mangsa yang maut ialah pemandu, Mohd. Zairul Mat Isa, 34; ibunya, Fatimah Mat Isa, 68; isteri Mohd. Zairul, Noratiqah Abd. Hamid, 30 dan anak mereka, Nur Qaseh Damia, 4.

Tiga yang lain ialah sepupu Mohd. Zairul iaitu Hasliza Mahmud, 40; suaminya, Zulkifli Shuib, 49; dan anak mereka, Mohd. Alif Firdaus, 3.

Mangsa yang cedera pula ialah anak Mohd. Zairul iaitu Muhammad Haziq Zikri, 9, dan dua anak Hasliza iaitu Firash Mikael Azrie Shah, 11, serta seorang lagi yang dikenali dengan nama Apit.

Anak saudara kepada Mohd. Zairul, Arfah Baharuddin, 34, berkata, dia mendapat tahu tentang percutian keluarga bapa saudaranya itu daripada datuknya, Zakaria Osman, 57.

“Keluarga seorang sepupu saya dari Padang Serai yang menaiki kereta Perodua Bezza berkonvoi dengan kereta dinaiki Mohd. Zairul ke Cameron Highlands pada Ahad lalu.

“Dua keluarga itu dikatakan menyewa kereta untuk ke Pulau Pangkor,” ujarnya.

 

Gambar kenangan Zulkifli dan isteri, Hasliza, suaminya bersama anak mereka dikenali dengan nama Apit, (kiri);  Firash Mikael Azrie Shah, (kanan) dan Mohd. Alif.

 

Katanya, dia diberitahu keluarga Mohd. Zairul kemudian menyambung percutian ke Cameron Highlands manakala keluarga sepupunya terus pulang ke Padang Serai.

“Saya terkejut apabila menerima berita kemalangan ini daripada seorang saudara kira-kira pukul 12 tengah malam tadi selepas melihat gambar kejadian di Facebook,” jelasnya.

Tambahnya, kemalangan yang meragut tujuh nyawa termasuk nenek saudara, bapa saudara serta isteri dan seorang anak mereka itu sukar diterima.

“Anak sulung mereka yang berusia sembilan tahun kini yatim piatu,” katanya.

Sementara itu, adik ipar kepada Allahyarham Fatimah, Teh Hamid, 77, berkata, kali terakhir dia bertemu Fatimah dan keluarga Mohd. Zairul mengunjunginya pada Hari Raya Aidiladha lalu.

Katanya, hubungan adik ipar dan arwah Mohd. Zairul sangat rapat dan pasti melawatnya jika dia jatuh sakit.

“Saya masih ingat dengan kata-kata terakhir arwah Fatimah yang mengingatkan saya tentang usia yang lanjut dan siapa antara kami akan pergi dulu,” katanya.

Tambahnya, dia reda dengan ketentuan itu dan berdoa agar semua mangsa yang meninggal dunia ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Indah, Serdang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI