fbpx

Hargai nilai berita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

 

JAMDI NASIR,TIMBALAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

 

SAYA pasti ramai dalam kalangan kita gemar menonton rancangan Discovery Channel atau National Geographic yang sering memaparkan dokumentari hebat melibatkan sesuatu yang sukar untuk kita jangkau.

Paparan seperti kawanan ikan paus biru di kawasan Lautan Pasific, keluarga singa di hutan Botswana dan kehidupan beruang di pergunungan Alaska menyebabkan kita sering terpaku di kaca televisyen.

Bagaimanapun, tanpa sedar, kita jarang mengambil tahu betapa sukarnya kru penggambaran dokumentari tersebut untuk menyiapkan tugasan mereka.

Bukan mengambil masa seminggu dua tetapi kadang-kadang berbulan, malah bertahun mereka terpaksa berkampung di hutan belantara bagi menyiapkan bahan tontonan yang mengambil masa cuma 45 minit untuk kita habiskan di televisyen.

Tidak sedikit pengorbanan mereka, daripada menahan kesejukan melampau di Artik sehinggalah bergadai nyawa ketika dihampiri jerung ganas dan gajah liar.

Mungkin ada antara kita yang masih ingat salah satu dokumentari terbaik dunia mengisahkan keletah anak singa bersama ibu haiwan liar itu yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran ketika menjalani kehidupan di Lembangan Okavango di Botswana.

Dokumentari hasil garapan Dereck Joubert bertajuk The Last Lions itu dilaporkan telah ditonton oleh 350 juta orang di seluruh dunia. Teknik penggambaran yang menarik menyebabkan seolah-olah kita turut berada bersama-sama dengan hidupan liar tersebut.

Keadaan itu menyebabkan harga sebuah dokumentari seperti itu terlalu besar untuk kita nilai. Apatah lagi kita cuma duduk di atas sofa empuk berbanding kru di lapangan.

Tidaklah bertujuan untuk membuat perbandingan, namun sedikit sebanyak sebagai pengamal media yang sering berusaha untuk membawa berita dan laporan terbaik kepada pembaca, pencapaian garapan istimewa seperti itu sentiasa menjadi inspirasi pasukan kami di Kosmo!.

Dalam menyiarkan laporan, wartawan Kosmo! sentiasa gigih mencari dan membuat penyiasatan isu-isu semasa. Tumpuan sudah pasti isu yang rapat dengan masyarakat.

Liputan khas mengenai masalah penggunaan dan penjualan air ketum contohnya, tidak dilakukan dalam masa sehari dua. Wartawan kami turun ke lapangan menemui penjual, pembeli dan pengguna air ketum termasuk membuat penyamaran di lokasi-lokasi tertentu.

Meskipun berdepan kesukaran dan halangan, apa yang penting bagi kami ialah berita yang disampaikan mempunyai nilai dan kesan tersendiri serta menyumbang kepada kemajuan serta penambahbaikan khususnya dalam beberapa kelemahan yang wujud berkaitan kawalan serta penguatkuasaan bahan terlarang berkenaan.

Tidak sekadar laporan khas, di Kosmo! kami paparkan pelbagai cerita lain daripada kisah jenayah, isu rumah tangga, mahkamah, arena sukan, fesyen, gaya hidup dan pelbagai lagi.

Usaha kami itu cuma berharga RM2. Mungkin ada yang menganggap agak mahal, namun percayalah nilai berita, ilmu pengetahuan dan maklumat terkini yang kami paparkan jauh lebih bernilai.

Akhbar kami bukan sekadar berita hari ini tetapi untuk membina generasi mapan akan datang. Selamat terus membaca bersama Kosmo!.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI