fbpx

K2

LIMA buah buku terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. ini mengandungi unsur-unsur dakwah untuk dinikmati para pembaca.

Kejutan buat lima penulis buku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI atas kertas, kesemua lima naskhah buku terbaharu yang dihasilkan oleh barisan mentor dan perantis Akademi Bonda Nor (ABN) sepatutnya dilancarkan sempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia menyebabkan banyak program berprestij dan besar-besaran termasuk PBAKL terpaksa dibatalkan.

Akur dengan keputusan kerajaan yang bertindak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan pandemik tersebut, majlis pelancaran buku berkenaan tidak dapat diadakan.

Namun, kekecewaan yang dirasakan para penulis terubat jua apabila pengasas ABN, Norli Madlan atau lebih dikenali sebagai Bonda Nor membuat kejutan dalam satu acara yang berlangsung di Prima Damansara, Selangor baru-baru ini.

Menurut Bonda Nor, majlis tersebut dibuat khusus bagi mengubati rasa kecewa para penulis yang bukunya gagal dilancarkan mengikut jadual.

“Ada yang sudah membeli tiket kapal terbang serta menempah hotel dan saya tidak mahu mereka pergi balik tanpa sesuatu yang bermakna seperti ini,” katanya.

Justeru, diam-diam dia mengaturkan majlis pelancaran tersebut yang dilangsungkan dengan perasmian Anjung Bonda Nor.

Lima judul buku terbaharu ABN yang bertajuk Dekor Dekor Cinta oleh Khairunnisa Hamzah; Dr. Cinderella (Dr. Nur Hanisah); Indahnya Hidup Bertuhan (Rohamiah Muda); Diet Bukan Mitos (Ruqayyah Muhd.) dan Waris Ifrit karya Rafiuddin Rohani dilancarkan kali ini.

“Kejutan ini berjaya dilakukan dengan kerjasama mentor dan perantis ABN yang sentiasa komited membantu saya dalam misi menyebarkan dakwah santai kepada khalayak melalui penulisan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikelilingi lingkaran positif para penulis lama dan baharu yang tidak pernah berputus asa untuk memberikan yang terbaik. Melihat wajah mereka yang teruja kerana diraikan, saya gembira kerana kejutan itu berjaya,” kata Bonda Nor.

Lima buah buku penulis yang dilatih menerusi ABN tersebut diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Salah seorang penulis Khairunnisa, 36, memberitahu, dia tidak menjangka apa-apa ketika Bonda Nor memintanya membuat dekorasi di rumah baharu berkenaan.

Rupa-rupanya itu adalah peluang besar yang diberikan oleh Bonda Nor untuk membuktikan kemampuan Khairunnisa dan pasukannya membuat kerja ubah suai dan dekorasi walau apa jua tekanan yang datang.

“Sebaik kerja ubah suai serta-merta ini siap dilakukan dalam tempoh hanya empat hari, Bonda Nor membuat kejutan majlis pelancaran buku Dekor Dekor Cinta bersama empat buah buku sahabat ABN yang lain.

“Kenangan mahal ini pasti tidak akan dilupakan. Seperti masuk pertandingan makeover pun ada,” ujar ibu anak lima yang popular dengan gelaran Mommy Dekor itu.

 

DARI kiri: Khairunnisa, Bonda Nor, Dr. Nur Hanisah, Rohamiah dan Ruqayyah, manakala Rafiuddin (belakang) semasa pelancaran buku di Prima Damansara, Selangor baru-baru ini.

 

 

Tambahnya, Bonda Nor yang dikenali mereka bukan sahaja sibuk menyebarkan ilmu dan dakwah, malah sibuk mengikat ukhuwah.

Sementara itu, Rafiuddin, 35, yang merupakan pensyarah di Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang, Johor, dia sudah memberitahu tidak dapat hadir disebabkan kekangan masa dan tugas.

“Namun, sahabat ABN yang lain beria-ia mengajak saya untuk pergi ke majlis tersebut. Ternyata ini satu keputusan yang sungguh membahagiakan.

“Terima kasih Bonda kerana sentiasa berusaha menggembirakan hati anak didiknya,” tutur pemuda kelahiran Batu Pahat, Johor itu.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Mohd. Yusri Mohd. Yusof mengakui musibah Covid-19 yang melanda telah memberi kesan besar dalam industri penerbitan buku tanah air.

Namun, itu bukan penghalang untuk mereka terus menerbitkan naskhah-naskhah yang terbaik untuk pembaca.

“Syukurlah kerana penggunaan medium jualan secara online mampu menarik pembeli untuk mendapatkan buku-buku terbitan kami.

“Tahniah juga buat para penulis ABN atas semangat positif yang ditunjukkan dalam berdepan ujian sebegini,” kata Mohd. Yusri.

Majlis tersebut disempurnakan oleh tokoh pendakwah dan penulis terkenal, Prof. Muhd. Kamil Ibrahim yang ditemani isterinya, Raudzah Roslan.

Turut hadir ialah Pengarah Penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Badrul Hisham Shari dan sebahagian daripada lebih 50 ahli keluarga besar ABN.

ABN merupakan satu kumpulan yang ditubuhkan oleh Bonda Nor pada tahun 2018 dengan visi dan misi melatih serta melahirkan lebih ramai penulis dakwah santai dalam arena penulisan tanah air.

Istimewanya kesemua 56 mentor dan perantis ABN yang terpilih dari seluruh negara akan menerima ilmu, tip dan pelbagai khidmat nasihat secara langsung dari Bonda Nor tanpa dikenakan sebarang bayaran.

POPULAR