BARCELONA – Barcelona perlu bermati-matian mendapatkan trofi Liga Juara-Juara (UCL) kerana ia adalah satu-satunya peluang untuk melupakan persembahan yang cukup mengecewakan musim ini.
The Catalan masih gagal memenangi sebarang piala musim ini selepas kecundang di separuh akhir Piala Super Sepanyol sebelum terkandas pada peringkat suku akhir Piala Raja Sepanyol dan sekadar meraih naib juara La Liga.
Justeru, Barcelona berpeluang menebus segala kekecewaan musim ini dengan menewaskan Napoli dalam aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik UCL di Camp Nou awal pagi esok.
Bintang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi berharap mereka mampu membenam cabaran Napoli untuk ke suku akhir sekali gus meraih semula sokongan daripada para peminat setia pasukan itu selepas ini.
Pemain tengah The Catalan, Frenkie De Jong bersetuju dengan pandangan kaptennya itu dan bertekad untuk menampilkan aksi terbaik bagi merealisasikan impian mereka bergelar juara Eropah selepas kali terakhir meraihnya pada musim 2014-2015.
“Saya sudah bersedia bermain menentang Napoli. Saya sentiasa bersemangat setiap kali menghadapi aksi Liga Juara-Juara kerana ia sangat istimewa.
“Format peringkat kalah mati selepas ini juga sangat menarik dengan setiap pasukan bermain satu perlawanan sahaja. Ia bermakna Barcelona cuma ada empat perlawanan lagi untuk menjuarai Liga Juara-Juara,” katanya.
Bagaimanapun, Barcelona yang seri 1-1 dengan Napoli dalam aksi pertama di Itali pada Februari lalu, tidak dapat menurunkan dua pemain tengah, Sergio Busquets dan Arturo Vidal untuk perlawanan awal pagi esok. – AGENSI














