fbpx

Penerbit kecewa filem dijual pada harga RM1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Keluarga Iskandar The Movie antara yang dijual secara berleluasa dalam satu platform e-dagang terkenal.

KUALA LUMPUR- Penerbit dan pemilik Syarikat Pencil Pictures & Records, Datuk Normashayu Puteh meluahkan rasa kecewa apabila filem terbaharunya, Ada Apa Dengan Dosa (AADD) telah dicetak rompak secara digital dan dijual pada harga RM1 dalam platform jualan atas talian.

Normashayu atau Ayu,43, berkata kegiatan haram tersebut disedari oleh kenalan rapat sejak minggu lalu dan melaporkan perkara tersebut kepadanya.

“Tergamak mereka buat orang seni seperti saya begitu, filem yang saya laburkan sehingga RM2 juta dijual dengan harga RM1 sahaja menerusi aplikasi Telegram dan Shopee.

“Saya sudah mengumpul segala bukti dan akan menyaman pihak tidak bertanggungjawab ini kerana telah mencuri hak cipta karya saya,”jelasnya lagi ketika dihubungi Kosmo! Online semalam.

Menurut Ayu, filem AADD yang telah ditayangkan secara eksklusif di saluran berbayar Astro First pada 4 Jun lalu dan mendapat kritikan yang positif daripada peminat.

Karya arahan Rahila Ali itu sepatutnya ditayangkan sekitar Mac atau April namun terpaksa ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum pihak penerbitan memutuskan untuk menayangkannya menerusi Astro First.

“Saya tidak menyesal memilih Astro First sebagai medium menayangkan AADD kerana mereka sangat memberi kerjasama serta membantu dalam mempromosikan filem ini.

“Saya hanya akan kecewa jika pihak Astro ada terlibat dengan kes cetak rompak ini, itu sahaja,” luahnya lagi.

Filem AADD yang berkonsepkan Islamik lakonan Wana Ali, PU Riz, Ashraf Muslim, Fasha Sandha dan Fauziah Nawi ini akan ditayangkan sekali lagi di pawagam pada 10 September depan.

Selain AADD, filem Keluarga Iskandar arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin turut menjadi mangsa cetak rompak filem digital ketika ini.

Setakat semalam, pihak Shopee telah mengambil tindakan memadam semua pautan yang dikatakan menjual filem-filem berkenaan. – K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI