fbpx
BARISAN peserta Big Stage 2020.

Big Stage 2020 ada Presiden Netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Program realiti popular, Big Stage edisi 2020 akan berlangsung dalam situasi yang cukup berbeza berbanding dengan musim-musim sebelumnya.

Jika pada kebiasaannya,program berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran peminat yang datang memberi sokongan setiap minggu, edisi kali ini akan menyaksikan sedikit kelainan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, kuota penonton Big Stage musim ketiga (BT3)  hanya dihadkan kepada ahli keluarga peserta, media dan juga segelintir peminat yang terpilih.

Situasi tersebut penting bagi memastikan perjalanan konsert BS3 mengikut standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“BS3 kali ini memperkenalkan satu sistem baharu iaitu Presiden Netizen yang akan mewakili pendapat peminat yang berada di rumah tentang persembahan 12 peserta selama pertandingan berlangsung.

“Presiden Netizen itu terdiri daripada Michael Ang, Caprice dan Neelofa yang bakal membawakan suara-suara netizen di media sosial. Pihak kami yakin tarikan ini akan menambahkan kemeriahan BS3 tahun ini,” katanya pada sidang media Big Stage 2020 di Nicsman By Lewre, The Starling Mall, Damansara baru-baru ini.

 

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal (dua dari kiri) bergambar bersama barisan hos dan juri tetap Big Stage 2020. – FARIZ RUSADIO

 

Kutukan

Sementara itu,pengarah terkenal, Michael Ang yang diberikan tugasan sebagai salah seorang Presiden Netizen berkata tugas mereka bukan sekadar mahu mengecam tetapi memberi komen dari sudut penonton biasa.

Katanya, jika sebelum ini peminat tidak mempunyai medium untuk meluahkan pendapat mereka tentang persembahan peserta, kewujudan Presiden Netizen akan mengubah situasi tersebut.

“Saya bukan mahu mengutuk semata-mata tetapi sekadar memberi komen jujur sebagai penonton.

“Meskipun kebenaran itu adakalanya perit untuk didengar tetapi saya yakin, sedikit sebanyak boleh membantu peserta memperbaiki persembahan pada setiap minggu,” katanya lagi.

Seramai 12 orang penyanyi kategori Budak Baru Nak Up (BBNU) yang terpilih bagi musim terbaharu iaitu Yamani Abdillah, Fadh Majid, Usop, Azzam Sham, Qody, Hafiz Zainal, Dinie Rashid, Amir Hasan, Hanie Soraya, Nana Sheme, Farisha Iris dan Sandra Dianne.

Bagi BS3, tiga tempat juri tetap atau profesional akan diisi oleh Faizal Tahir, Ajai dan Dayang Nurfaizah dibantu seorang juri jemputan setiap minggu.

Sistem pemarkahan bagi setiap persembahan akan terbahagi kepada dua bahagian.

Bahagian pertama bakal diadili 100 peratus oleh juri profesional bagi menentukan kedudukan tiga terbawah.

Bahagian kedua pemarkahan akan ditentukan oleh undian peminat bagi menyingkirkan seorang daripada peserta tiga terbawah.

Konsert mingguan akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) setiap hari Ahad pukul 9 malam bermula 16 Ogos ini. K!ONLINE