fbpx
Penghasilan batik bercorak kod binari sangat unik kerana menggabungkan nombor, flora dan fauna.

Kreativiti Bujins L Batik hasilkan corak kod binari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHALUSAN seni batik menjadi pertaruhan Bujins L Batik Sdn. Bhd. sejak 11 tahun lalu. Jenama tersebut telah mengharumkan nama batik di Malaysia dan pentas antarabangsa.

Kini jenama itu terus berani mengorak langkah dengan penghasilan corak-corak segar dan mengikut trend semasa.

Sebelum ini, Bujins L Batik meledak dengan koleksi batik Super Hero, tetapi terbaharu, jenama itu telah meletakkan batik di aras lebih tinggi dengan koleksi Binari selain Cik Siti Wan Kembang.

Menurut pemilik jenama itu, Amir Harith Mat Kashim, 31, atau lebih dikenali sebagai Bujin, dia mahu batik bergabung dengan arus pemodenan dan keluar daripada kebiasaan supaya seni itu tetap mekar sepanjang zaman.

“Boleh dikatakan saya telah menghasilkan semua motif batik termasuklah corak binatang seperti kuda.

“Beberapa bulan sebelum Pertandingan Rekaan Batik Malaysia 2020 yang berlangsung Januari lalu, saya telah menerima cabaran daripada beberapa usahawan Malaysia di England dan Amerika Syarikat untuk menghasilkan batik di luar kebiasaan seperti bermotif kod binari, maka saya menyahut cabaran itu dengan menghasilkannya,” katanya kepada Stailo baru-baru ini.

 

Koleksi Binari telah dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Rekaan Batik Malaysia 2020 sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 pada Januari lalu.

 

Siapa sangka percubaannya itu membuahkan hasil apabila motif binari batiknya telah dinobatkan sebagai juara pada Pertandingan Rekaan Batik Malaysia 2020 sempena tahun Melawat Malaysia 2020.

Sistem kod binari ialah sistem asas dua digit mewakili angka 0 dan 1. Sistem angka binari ini digunakan dalam semua komputer moden.

Jelas jejaka yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, rekaan koleksi Binari tersebut sangat unik kerana dirinya menggabungkan kod nombor itu dengan flora dan fauna.

Setiap satu koleksi Binari itu tidak akan dikeluarkan semula dan ini menjadikannya sangat eksklusif.

“Saya mengambil masa selama lima atau enam hari untuk menghasilkan satu rekaan bercorak kod binari itu.

“Setiap satu nombor yang dilukis atas kain itu mempunyai makna tersendiri dan sebenarnya sangat sukar untuk menyusun angka-angka itu,” tuturnya yang merupakan penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri pada 2009.

 

Koleksi Cik Siti Wan Kembang menyuntik semangat juang legenda wanita Kelantan itu kepada pemakainya

 

Bagi koleksi Binari tersebut, Bujin menggunakan fabrik satin, kapas dan crepe. Ulas pemegang Diploma Seni Kraf Batik, Institut Kraf Negara itu, dia telah menghasilkan lebih 50 rekaan untuk koleksi tersebut.

Dalam pada itu, bercerita mengenai koleksi Cik Siti Wan Kembang pula, Bujin memberitahu, dia ingin menyemarakkan semangat juang tokoh legenda itu agar si pemakai turut merasainya.

“Bagi penghasilan coraknya, saya melukis dengan mengolah pemakaian Cik Siti Wan Kembang meliputi pending, gelang kaki, gelang tangan dan kain sarung, malah ada juga lukisan wajah tokoh wanita itu.

“Hendak melukis kehalusan aksesori yang dipakai oleh beliau memerlukan kesabaran dan ketekunan,” ulasnya.

Sebagai contoh, Bujin berkata, dia mengambil masa selama kira-kira 10 hari untuk melukis motif di atas kain bersaiz lima meter dalam koleksi Cik Siti Wan Kembang.

Harga bagi koleksi Binari ialah RM600 sehingga RM2,200, manakala Cik Siti Wan Kembang pula ialah RM1,500 sehingga RM2,500.